Berita Utama

Ka Siong rayu orang Cina beri peluang pada MCA

Presiden MCA dakwa DAP memang tidak disenangi pengundi Melayu

BANGI, 24 Rejab 1442H, Isnin – “Saya berharap masyarakat Cina dapat memberikan peluang kepada kita,” demikian kata Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-67, kelmarin.

Beliau berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang adalah cabaran yang sangat besar buat MCA.

Ini kerana, MCA perlu memenangi lebih banyak kerusi supaya memperoleh mandat rakyat dan sekali gus dapat memperkuatkan parti.

“Berilah peluang kepada MCA agar kami memiliki lebih suara di Parlimen dan juga di Dewan Undangan Negeri, seterusnya dapat menangani isu-isu rakyat secara holistik.

“Ia juga bagi memastikan masyarakat Cina tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara,” katanya.

Pada masa sama, Ka Siong turut berharap supaya semua perwakilan dan ahli parti terus bersatu padu membantu kemenangan parti.

“Kita tidak mahu ada perselisihan atau pertengkaran dalaman parti kerana ia merupakan ‘virus perosak’ yang boleh menjatuhkan kita semua.

“Kita perlu memastikan kemenangan dalam PRU akan datang. Jangan kerana pergelutan dalaman parti, akhirnya parti tergadai.

“Matlamat utama kita adalah untuk memastikan MCA menang dan mendapatkan kembali kepercayaan rakyat serta mengembalikan kegemilangan parti yang pernah kita kecapi suatu ketika dahulu,” katanya.

Selain itu, beliau turut meminta agar kemenangan kerajaan PH pada PRU-14 yang lalu dijadikan sebagai pengajaran oleh MCA.

“Hanya minoriti orang Melayu yang menyokong mereka. Walaupun parti DAP memenangi bilangan kerusi terbanyak dalam sejarah, namun mereka masih gagal menunjukkan prestasi yang baik.

“Sebaliknya satu persatu kegagalan mereka didedahkan kerana DAP sememangnya tidak disenangi oleh pengundi Melayu,” katanya.

Menurutnya, DAP bukan sahaja gagal memenuhi manifesto pilihan raya yang ditaburkan kepada rakyat, tetapi juga terus mencari alasan untuk menutup kegagalan sendiri.

“PH gagal memenuhi janji ‘bulan bintang’ mereka kepada rakyat setelah berjaya menjadi kerajaan. Oleh itu, kita perlu jadikan ia sebagai pengajaran dan iktibar supaya kita tidak mengulangi kesalahan yang sama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button