Berita Utama

Lagak mahu jadi ‘abang long’ nampakkan UMNO tamak, ego

Apakah UMNO akan jalin 'cinta tiga segi' dengan PAN, PKR?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 24 Rejab 1442H, Isnin – Lagak UMNO untuk menjadi ‘abang long’ di antara parti-parti Melayu Islam hanya menyerlahkan sikap tamak dan ego semata mata.

Walhal, UMNO sudah tidak mempunyai agenda bangsa Melayu Islam, sehinggakan parti itu dilihat tertimbus hala tuju.

Atas dasar itu, Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim mempersoalkan alasan dan hujah UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Keputusan UMNO untuk tidak bersama PN pada PRU15 menunjukkan keegoan serta kerakusan pemimpinnya.

“Ketamakan dan keegoan tersebut berselindung atas laungan demi maruah UMNO,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Zamani yakin UMNO tidak boleh pergi jauh dengan keputusannya untuk tidak bersama dengan PN.

“Saya pasti ianya sekadar ugutan sahaja. UMNO akan berani apabila keputusannya direstui oleh MCA dan MIC.

“Sedangkan baru-baru ini, MCA dan MIC telah memberi signal kepada keputusan UMNO tersebut bahawa parti itu tidak merestuinya,” katanya.

Bahkan, untuk kekal ‘berdenyut’, tidak mustahil ia akan menjalinkan kerjasama dengan PKR dan PAN.

“Saya juga tidak menolak ada kemungkinan UMNO membina ‘cinta tiga segi’ dengan PKR dan PAN.

“Apa yang dirisaukan kalau PKR dan PAN mampu memberikan talian hayat kepada pemimpin UMNO yang korup, maka tidak mustahil itu akan menjadi pilihan mereka,” katanya.

Pun begitu, untuk menzahirkan kerjasama dengan PKR dan PAN, UMNO mesti berani untuk mengalami perpecahan dalam UMNO itu sendiri.

“Ini kerana tidak semua ahli dan pemimpin UMNO dapat memberikan persetujuan mereka.

“Nasihat saya, kembalilah semula kepada agenda sebenar penubuhan UMNO.

“UMNO adalah parti membela agenda bangsa Melayu bukannya ‘ladang bercucuk tanam’ bagi sesetengah pemimpinnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button