Berita Utama

MCA bangga saluran peruntukan untuk vernakular, TAR UC lancar

Ka Siong dakwa TAR UC dianiaya kerajaan PH sebelum ini

BANGI, 24 Rejab 1442H, Isnin – MCA mendakwa berjaya merangka mekanisme penyaluran peruntukan kerajaan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan secara lebih sistematik, iaitu bersandarkan kepada bilangan sekolah tanpa sebarang diskriminasi dalam Belanjawan 2021.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, MCA juga telah mengembalikan peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) mengikut tatacara yang sepatutnya.

Beliau mendakwa, ketika TAR UC dianiaya oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, masyarakat Cina tetap berdiri teguh untuk mempertahankan kepentingan TAR UC.

“MCA amat berterima kasih atas sokongan yang telah diberikan. TAR UC bukanlah ‘bahan’ untuk dipolitikkan.

“Sejurus PN ambil alih Putrajaya, saya hanya mengambil masa yang singkat untuk berbincang dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan menceritakan tentang sejarah TAR UC dan peruntukan yang disediakan kerajaan selama ini.

“Beliau begitu memahami keadaan yang berlaku dan menangani isu berkaitan peruntukan TAR UC tanpa mengheret kepada isu perkauman mahupun mempolitikkannya,” katanya dalam ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-67, kelmarin.

Bukan itu sahaja, Ka Siong berkata, Zafrul turut bersetuju untuk mengembalikan mekanisme dan tatacara penyaluran kewangan yang betul sepertimana digunapakai ketika era Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Tengku Datuk Seri Zafrul,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button