Berita Utama

Tolak tadbir Gaza bukti PA tak boleh diharap bela Palestin

Rakyat Malaysia perlu sedar majoriti rakyat Palestin pilih siapa

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 16 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) hari ini menyelar kenyataan Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh yang menolak untuk mentadbir semula Gaza jika Israel berjaya menggulingkan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dalam perang di wilayah itu.

Pengerusi GSPP, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, kenyataan Shtayyeh membuktikan Pihak Berkuasa Palestin (PA) – yang dipimpin oleh Fatah – sememangnya tidak boleh diharap untuk menyelesaikan konflik Palestin dan Israel.

Bahkan, beliau semakin kesal dengan sikap PA yang masih terbelenggu dengan idea penyelesaian dua negara, meskipun tidak mendapat dukungan majoriti rakyat Palestin.

“Walaupun di satu sudut ia menunjukkan keprihatinan agar isu Tebing Barat dan Gaza dibincangkan sekali, tetapi tiada langsung sebarang keprihatinan yang boleh dilihat dalam membincangkan kemerdekaan Palestin keseluruhannya.

“Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa mereka mesti berada di pihak yang didukung oleh majoriti rakyat Palestin,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Shtayyeh yang menegaskan PA tidak akan kembali mentadbir Gaza, melainkan ada penyelesaian menyeluruh yang turut membabitkan Tebing Barat sekiranya Israel menang perang dengan Hamas.

Terdahulu, Shtayyeh berkata, PA tidak akan bekerjasama tanpa kembali kepada proses damai tulen yang menghasilkan dua negara berdaulat.

“Untuk meminta PA pergi ke Gaza dan melaksanakan hal ehwal Gaza tanpa penyelesaian politik untuk Tebing Barat, seolah-olah PA ini menaiki F-16 atau kereta kebal Israel?,” kata Shtayyeh.

Kenyataan Shtayyeh itu dibuat susulan mengulas rancangan tentera Israel menamatkan perang Gaza dengan mewujudkan pihak berkuasa peralihan selepas Hamas digulingkan, dan mungkin dikendalikan oleh negara Arab dan kemudian akhirnya menyerahkan ia kepada PA.

Mengulas lanjut perkara itu, Muhammad Fauzi menegaskan, penyerahan Gaza kepada pihak ketiga untuk sementara waktu, sama ada negara Arab atau selainnya tidak akan menyelesaikan konflik di wilayah berkenaan.

“Sebaliknya rakyat Palestin yang menjadi mangsa perang ini terus tidak terbela.

“Perkara yang sepatutnya dilakukan oleh PA ketika ini adalah berunding dengan Hamas dan negara Arab serantau untuk bersama-sama menghadapi kemaraan Barat di Gaza,” katanya.

Berita berkaitan;

https://ismaweb.net/2023/10/31/pa-tolak-tadbir-gaza-jika-israel-menang-perang/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button