Berita Utama

PH kerjasama UMNO pada PRU15? Anwar tak tolak kemungkinan

PH sudah mula proses rundingan kerusi antara parti sekutu lain

BANGI, 24 Rejab 1442H, Isnin – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia susulan keputusan UMNO minggu lalu untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya nanti.

“Soal kerjasama dengan mana-mana pihak tidak berbangkit setakat ini.

“Walaupun jelas kita dukung siapa saja yang boleh terima kita (Pakatan Harapan) untuk dukung tadbir urus yang baik, tolak rasuah, tolak segala bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa dan jaga orang Melayu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, UMNO memutuskan untuk tidak menjalin sebarang kerjasama dengan Bersatu pada PRU15, dan hanya bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

Keputusan itu dibuat UMNO selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta parti berkenaan menyatakan pendirian jelas kedudukan kerjasama sebelum rundingan pengagihan kerusi diteruskan.

Bersatu pula membuat keputusan untuk memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan.

Pada masa sama, Anwar turut memaklumkan bahawa PH sudah memulakan proses rundingan kerusi bagi PRU15.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, PH turut mengambil kira kerusi untuk parti-parti sekutu lain termasuk cadangan yang dikemukakan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO).

“Majlis Presiden PH telah putuskan beberapa perkara termasuk kerjasama jentera pilihan raya dan untuk memulakan rundingan kerusi melibatkan parti komponen PH terutamanya, dan juga mengambil kira peruntukan untuk parti rakan yang lain.

“Ada juga cadangan daripada Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau dan ia akan diambil kira. Tetapi pada tahap ini, kita akan lantik seorang jurucakap,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button