Berita UtamaDunia

Tehran ugut akan hancurkan Tel Aviv, Haifa

Menteri dakwa tindakan Israel mahu serang tempat nuklear Iran sebagai terdesak

TEHRAN, 24 Rejab 1442H, Isnin – Iran menempelak Israel selepas mendakwa sedang memperbaharui rancangan untuk menyerang tempat nuklear negaranya.

Sebagai respons kepada ancaman negara haram, Menteri Pertahanan Iran berjanji bahawa Tehran akan menghancurkan Tel Aviv dan Haifa jika rejim penjajah melakukan kesilapan.

“Tindakan mereka adalah ancaman yang jelas terdesak.

“Rejim Zionis tahu perkara itu, dan jika tidak tahu, mereka harus tahu bahawa Iran akan menjatuhkan Tel Aviv dan Haifa ke tanah jika berani melakukan kesilapan,” kata Brigadier Jeneral Amir Hatami, semalam.

Kenyataan itu dibuat setelah Menteri Hal Ehwal Ketenteraan Israel memaklumkan, rejimnya memperbaharui rancangan serangan ketenteraan di lokasi nuklear Iran sekiranya Tehran meneruskan apa yang digambarkan sebagai ‘peningkatan nuklear’.

Dalam wawancara dengan Fox News, Benny Gantz ditanya mengenai program nuklear Iran dan apakah Israel sedang membuat persiapan untuk menyerang sasaran Iran.

“Sudah tentu kita ada (rancangan), tetapi kita akan terus memperbaikinya.

“Peningkatan nuklear Iran mesti dihentikan. Sekiranya dunia menghentikannya sebelum ini, sangat baik. Tetapi jika tidak, kita mesti berdiri sendiri dan kita mesti mempertahankannya.”

Tehran menandatangani Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada tahun 2015 dengan enam negara, yang menyebabkan terjalinnya kerjasama erat antara Republik Islam dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), walaupun Israel melobi secara intensif untuk menggagalkan perjanjian nuklear.

Bagaimanapun, pentadbiran bekas Presiden AS, Donald Trump melemahkan JCPOA dengan membatalkannya pada bulan Mei 2018 di tengah-tengah banyak laporan IAEA mengenai pematuhan sepenuhnya Tehran terhadap perjanjian itu.

Israel menyokong penarikan Washington secara sepihak dari perjanjian itu dan kempen ‘tekanan maksimum’ yang dilancarkan AS terhadap Iran.

Pentadbiran AS yang baru, di bawah Presiden Joe Biden, telah menyatakan kesediaan untuk membawa Washington kembali ke JCPOA.

Tetapi pihaknya menuntut agar Iran menarik semula langkah yang telah diambil, sebagai tindak balas terhadap pelanggaran AS dan kegagalan orang Eropah memenuhi kesepakatan.

Iran menegaskan Amerika Syarikat harus menarik balik sekatannya sebelum Republik Islam mempertimbangkan tindak balas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button