Berita Utama

Agenda keharmonian gagal jika tiada usaha satukan Melayu

Sekiranya tiada kesepakatan, bagaimana nak laksana pembangunan negara?

BANGI, 25 Rejab 1442H, Selasa – Agenda keharmonian negara berkemungkinan gagal jika tiada usaha atau inisiatif ke arah menyatupadukan orang Melayu.

Ini kerana, perpaduan Melayu adalah teras utama sebelum negara memfokuskan kesatuan dalam kepelbagaian antara kaum, kata bekas Pengarah Pembangunan Negeri Selangor, Datuk Mohd Rosli Ramli.

Justeru, perpaduan tidak sepatutnya dilihat dari aspek pelbagai bangsa semata-mata,  sedangkan teras penduduk di negara ini tidak bersatu, katanya.

“70 peratus penduduk di negara ini adalah Melayu Bumiputera. Ia adalah satu jumlah yang besar, dan jika berlaku ketidaksepakatan di kalangan Melayu, maka bagaimana nak laksana pembangunan negara itu?

“Maka, adalah penting untuk kita melihat dan memberi penekanan terhadap perpaduan dalam kalangan orang Melayu,” katanya dalam Wacana Dasar 6.0 di TV Pertiwi.

Menurut Mohd Rosli, Dasar Perpaduan Negara yang dilancarkan baru-baru ini juga, hanya mengarus perdanakan konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

Sementara, perpaduan orang Melayu yang sepatutnya menjadi aspek penting tidak dijelaskan secara terperinci dari segi konsep, katanya.

“Maka, jika Melayu berpecah, maka kita akan lihat apa yang berlaku seperti hari ini di mana banyaknya parti politik Melayu wujud.

“Dahulu, kita ada dua saja parti politik Melayu yang besar iaitu UMNO dan PAS. Tetapi, hari ini, kita ada lima hingga enam parti politik Melayu, namun ia bukan halangan untuk kita bersatu,” katanya.

Beliau berkata, walaupun negara sudah mempunyai banyak parti Melayu dengan perbezaan politik, namun kesatuan masih perlu terus dijaga.

“Sebelum ini bila kita lihat Natrah hendak dimurtadkan, lihat bagaimana Melayu bersatu untuk menghalang kemurtadan itu.

“Tetapi hari ini, bila bercakap murtad lebih afdal, tiada pula suara yang menyanggah kenyataan itu, seolah-olah tiada apa walhal isu umat Islam adalah asas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button