Dunia

AS benar individu divaksin himpun tanpa pelitup muka

Lebih 90 peratus penduduk belum divaksin sepenuhnya

WASHINGTON, 25 Rejab 1442H, Selasa – Individu yang telah menerima vaksin COVID-19 dibenarkan berhimpun dalam kumpulan kecil – yang juga telah disuntik – tanpa perlu memakai pelitup muka, menurut pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Bagaimanapun, ketetapan baharu itu masih melarang sebarang perjalanan yang tidak penting, selain kekal mewajibkan pemakaian pelitup muka di khalayak ramai. 

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC), individu yang telah diberi vaksin sepenuhnya juga dibenarkan bertemu dengan kumpulan kecil mereka yang masih belum menerima suntikan dos, namun berada dalam kategori berisiko rendah tanpa memakai pelitup muka. 

Setakat ini, tindakan menarik balik sekatan secara berperingkat menunjukkan kerajaan masih berwaspada terhadap situasi kesihatan awam walaupun jumlah penerima vaksin bertambah. 

Biden mendesak rakyat AS untuk terus berwaspada dan mengikuti panduan yang ditetapkan pihak CDC untuk mencegah kes jangkitan meningkat. 

CDC berkata, individu yang telah menerima vaksin masih dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengelak berada dalam perjumpaan besar, memakai pelitup muka jika bersama dengan mereka yang belum divaksin dan berisiko dijangkiti COVID-19.

Pengarah CDC, Rochelle Walensky berkata, adalah penting untuk melindungi mereka yang belum diberi vaksin dan golongan rentan, dalam tempoh 60,000 lagi kes jangkitan baharu dilaporkan. 

“Kita masih berada dalam situasi pandemik yang serius, apabila lebih 90 peratus penduduk kita belum divaksin sepenuhnya. 

“Maka, setiap individu sama ada yang diberi vaksin atau belum harus menghindari perhimpunan berskala sederhana dan besar serta melakukan perjalanan yang tidak penting,” katanya.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button