Berita Utama

Ejen perbalahan adalah syaitan

Perpaduan ummah babitkan semua pihak termasuk NGO, media

BANGI, 25 Rejab 1442H, Selasa – Cubaan mana-mana pihak memecahkan perpaduan ummah yang disepakati bawah Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) membabitkan tiga parti Melayu – UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – adalah tindakan tidak wajar dan merugikan.

Perkara itu juga tidak harus dibiarkan berlaku secara berterusan memandangkan ia boleh memberikan kesan yang besar dan merugikan umat Islam itu sendiri.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, kerjasama yang membabitkan PAS menerusi PN dan MN bukan sekadar kerjasama politik semata-mata.

Sebaliknya jelas beliau, ia adalah platform untuk mengukuhkan perpaduan umat Islam dan Melayu yang memerlukan kesatuan yang kukuh serta utuh terutama dalam menguasai arena politik tanah air.

Bagaimanapun baginya, usaha dalam membentuk dan memupuk perpaduan ummah tidak seharusnya melibatkan tiga parti berkenaan sahaja.

Justeru, beliau berharap penglibatan semua pihak di negara ini termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pengamal media dalam membentuk dan memupuk perpaduan ummah.

“Kita kena berusaha untuk menjayakan perpaduan, siapa-siapa pun, parti apa pun… NGO, wartawan pun kena berusaha kepada perpaduan.

“Janganlah menulis berita yang boleh mencetuskan perbalahan dan perpecahan.

“Pengamal media sosial pun sama, carilah perkara yang boleh membawa kepada keutuhan umat manusia,” katanya seperti dilapor Astro Awani, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan mana-mana individu atau pihak yang menjadi ejen kepada perbalahan dan perpecahan ummah adalah syaitan.

“Ejen perpecahan, pergaduhan, perbalahan adalah syaitan, (manakala) ejen perpaduan adalah kerja kita, ejen penyatuan kerja kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button