Berita UtamaDunia

Helikopter tentera Pakistan bawa enam pegawai hilang

Tentera jalani operasi bantuan banjir, terputus hubungan dengan kawalan trafik udara

ISLAMABAD, 4 Muharram 1444H, Selasa – Sebuah helikopter tentera Pakistan yang membawa enam pegawai termasuk seorang komander kanan hilang pada Isnin, semasa usaha bantuan banjir di barat daya negara ini, kata tentera dalam satu kenyataan.

Hujan monsun melebihi biasa dan banjir maut telah melanda Pakistan membunuh ratusan orang setakat ini dan mendatangkan malapetaka khususnya di wilayah Balochistan.

Tentera telah terlibat dalam usaha menyelamat dan bantuan di sana.

“Helikopter penerbangan tentera Pakistan yang sedang dalam operasi bantuan banjir di Lasbela, Balochistan terputus hubungan dengan kawalan trafik udara,” kata tentera dalam satu kenyataan.

Ia berkata enam orang berada di dalam helikopter termasuk ‘Komander 12 Kor yang menyelia operasi bantuan banjir di Balochistan’ tetapi tidak memberikan butiran mengenai apa yang mungkin berlaku kepadanya.

Komander tersebut Leftenan Jeneral Sarfraz Ali adalah pegawai tertinggi tentera di rantau ini dan salah seorang yang paling kanan dalam tentera.

Operasi mencari sedang dijalankan untuk menjejaki helikopter yang dikatakan pegawai kanan polis tempatan telah hilang sekurang-kurangnya enam jam.

“Polis, tentera dan pegawai penyelamat tempatan sedang mencarinya,” kata pegawai polis, Pervaiz Umrani kepada AFP.

Perdana Menteri, Shehbaz Sharif yang berada di wilayah itu awal Isnin untuk memeriksa aktiviti menyelamat menyifatkan insiden berkenaan sebagai ‘membimbangkan’.

“Seluruh negara berdoa kepada Allah SWT untuk keselamatan dan kepulangan anak-anak negara ini yang keluar untuk membantu mangsa banjir,” kata Sharif.

Sharif sebelum ini mengkritik pegawai awam wilayah kerana kekurangan bantuan untuk orang yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir.

Tentera adalah institusi paling berkuasa di Pakistan dan pentadbiran awam sangat bergantung kepadanya semasa bencana alam seperti banjir atau gempa bumi.

Banjir monsun, yang bermula pada pertengahan Jun telah membunuh sekurang-kurangnya 478 orang setakat ini, dengan sekurang-kurangnya 136 maut di Balochistan sahaja.

Balochistan juga dipenuhi dengan keganasan etnik dan mazhab, tetapi setakat ini tiada kumpulan militan mengaku bertanggungjawab atas sebarang serangan terhadap helikopter di wilayah itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button