Berita Utama

NPC syor adakan perbincangan proses vaksinasi pengamal media

Warga media perlu divaksinasi awal kerana turun padang

CYBERJAYA, 25 Rejab 1442H, Selasa – Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Malaysia berharap kerajaan mengadakan perbincangan dengannya dan persatuan yang menaungi media bagi memudah cara proses vaksinasi COVID-19 bagi pengamal media, kata Presidennya Datuk Ahirudin Attan.

Beliau berkata, warga media juga adalah petugas barisan hadapan yang perlu divaksinasi dalam fasa awal kerana mereka perlu ‘turun padang’ untuk mendapatkan bahan berita selain bersemuka dengan orang ramai.

Katanya, NPC maklum mengenai keperluan petugas barisan hadapan lain yang harus diutamakan bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 namun, menjadi harapan kelab itu agar petugas media turut diberi perhatian dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Berbincanglah dengan kami atau NUJ (Kesatuan Wartawan Kebangsaan). Kami ingin terlibat dalam membantu kerajaan agar proses (vaksinasi untuk media) berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas menerima sumbangan dana untuk Tabung Kebajikan Wartawan (JWF) NPC daripada syarikat rangkaian makanan Pop Meals, di sini hari ini.

Menteri Penyelaras program itu Khairy Jamaluddin semalam dilaporkan berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) belum menyenaraikan petugas media sebagai antara kumpulan fasa pertama bagi menerima suntikan vaksin COVID-19.

Mengenai sumbangan dana itu, Ahirudin berkata, Pop Meals yang sebelum ini dikenali sebagai platform ‘dahmakan’ menyumbangkan RM5,000 secara tunai dan 1,000 kod promo bagi makanan yang ditempah melalui www.popmeals.com.my.

Kod promo yang terbuka kepada orang ramai itu boleh diterima dengan menghantar WhatsApp kepada NPC di talian 019-2458073, dan dengan setiap pembelian, pelanggan akan mendapat set kutleri berkualiti (berharga RM23.90 setiap satu) secara percuma daripada Pop Meals manakala sumbangan harga makanan akan disalurkan ke JWF.

Pengarah Komunikasi Pop Meals Nurul Jamaludin berkata, usaha itu adalah sebagai menghargai petugas media dan membantu mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Individu yang berminat untuk menderma kepada JWF boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank NPC, Ambank Islamic 023-202-200219-3 dengan catatan JWF. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button