Berita Utama

Pentadbiran ‘bagus’ perlu idea baharu, bukan lagi doktrin politik lama

Huru-hara politik akan berpanjangan hinggalah pakatan baru terbentuk

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 25 Rejab 1442H, Selasa – Malaysia akan melalui satu fasa yang tidak menentu dan mungkin mengalami situasi sama seperti di negara Arab.

Ini kerana, negara sedang menunggu perubahan baharu khususnya dalam politik, namun sehingga kini masih belum terbentuk.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, negara tidak memerlukan parti untuk meneruskan pentadbiran dengan cara yang terbaik.

Sebaliknya, hanya pembentukan, idea serta semangat baharu yang diperlukan untuk mengubah corak pemerintahan lama.

“Jika ada (parti) yang ambil alih pemerintahan sekarang, ia kekal dengan ‘pattern’ lama.

“Sedangkan, pentadbiran dan masa depan negara perlu kepada pembentukan, idea dan semangat baharu, tetapi untuk terbentuk itu masih belum nampak petandanya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya parti manakah yang boleh diharap untuk memegang tampuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pemimpin gerakan Islam itu percaya, ketidaktentuan dan huru-hara politik negara akan berpanjangan sehingga situasi matang serta satu pakatan baharu terbentuk.

Sementara ditanya mengenai relevan idea kerajaan campuran, Ustaz Abdullah Zaik berkata, langkah itu sememangnya antara penyelesaian dalam keadaan situasi politik seperti hari ini.

Katanya, idea kerajaan boleh menjadi pilihan sekiranya tiada satu parti yang dominan dan mendapat majoriti besar untuk membentuk kerajaan.

“Solution ini biasa juga dipraktikkan di negara-negara lain. Mereka akan bawa idea kerajaan campuran atau kerajaan perpaduan.

“Tetapi, dari segi pengalaman juga, kerajaan seperti ini tidak membawa penyelesaian tuntas,” katanya.

Jelas beliau, kewujudan kerajaan campuran hanya merumitkan pentadbiran negara dan mencetuskan konflik serta pergolakan.

“Mungkin hari ini buat kerajaan campuran, tahun depan jatuh. Kemudian tubuh lagi, enam bulan kemudian jatuh lagi, menyebabkan kita terpaksa lalui tempoh sebegitu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button