Berita UtamaPendapat

Sifat panas baran gugat institusi kekeluargaan

Cemburu disertai nafsu amarah, tidak rasional dikeji Allah SWT

SETIAP daripada kita menginginkan sebuah kehidupan yang bahagia.

Lumrah dan fitrah manusia mahukan belaian dan ingin dikasihi.

Maka dengan itu, Islam membawa satu cara hidup dan panduan kepada umatnya agar rasa itu dipenuhi dan dibina melalui perkahwinan yang sah berlandaskan syariat dan ketaqwaan kepada Allah.

Dua jiwa yang disatukan melalui sebuah perkahwinan bukanlah dibina demi kebencian atau dengan tujuan menyakiti pasangannya.

Setiap pasangan harus jelas dan tahu akan matlamat sebuah perkahwinan kerana ia merupakan ibadah dan sunnah yang diajarkan Nabi Muhammad SAW kepada ummatnya.

Melalui perkahwinan, kerosakan akhlak dan adab tatasusila dapat dibendung dan institusi kekeluargaan dapat dipelihara.

Namun sejak akhir-akhir ini, keutuhan sesebuah institusi kekeluargaan kian tergugat.

Statistik penceraian juga meningkat seiring dengan kes-kes lain melibatkan penderaan, jenayah, sumbang mahram dan sebagainya.

Mengulas berita baru-baru ini berkenaan kes seorang isteri dibunuh oleh suaminya menggunakan senapang angin, jelas menggambarkan ketidakstabilan masyarakat kini.

Laporan polis mengatakan motif pembunuhan adalah kerana cemburu dan berikutan penemuan surat tuntutan fasakh pasangan ini.

Ini dapat dilihat bahawa kemahiran mengurus konflik dalam rumah tangga amat penting.

Panas baran adalah penyakit jiwa yang sering membawa kepada implikasi yang lebih buruk seperti pergaduhan, penderaan seterusnya kepada pembunuhan.

Kerana itu, adalah penting bagi kita untuk menguruskan sifat panas baran ini. Antara cara yang boleh dilakukan adalah;

1. Sentiasa berwaspada dengan sifat marah
2. Sentiasa memaafkan dan memohon maaf
3. Cuba bertenang dengan mengubah posisi badan
4. Mengambil wudhu
5. Segera perbanyakknan zikir dan istighfar
6. Alihkan perhatian dengan melakukan perkara lain
7. Beredar dari kawasan atau tempat pergaduhan
8. Berkata baik atau lebih baik diam sehingga keadaan kembali tenang.

Manakala sifat cemburu pula boleh jadi sifat yang terpuji dan boleh jadi menjadi sifat yang dikeji.

Seorang suami wajib mempunyai sifat cemburu apabila isterinya tidak menutup aurat atau bergaulan bebas dengan lelaki bukan mahram yang lain.

Ia juga demi mengelakkan suami tersebut dikatakan sebagai suami yang dayus.

Manakala cemburu yang dikeji oleh Allah adalah apabila disertai dengan nafsu amarah dan tidak mengambil rasional akal dalam pertimbangan membuat sesuatu tindakan.

Itula kepentingan bagi setiap dari kita menambah ilmu alam rumahtangga kerana ujian dan konflik yang dihadapi dapat diselesaikan dengan cara berhikmah.

Ibnu Mas’ud berkata: “Hendaklah kamu semua berusaha mencari ilmu sebelum ia lenyap. Lenyapnya ilmu pengetahuan apabila matinya orang-orang yang berilmu. Seseorang itu tidak dilahirkan menjadi pandai. Jadi ilmu mesti dicari dan diusahakan dengan belajar,”

Kepincangan dalam institusi kekeluargaan dan masalah moral manusia adalah berpunca daripada kejahilan ilmu, terutamanya ilmu keibubapaan dan kekeluargaan mengikut syariat Islam.

Seorang suami seharusnya menjadi pemimpin kepada isteri dan keluarganya. Ia datang dengan kuasa memimpin serta amanah yang perlu dipikul.

Begitu juga peranan isteri yang menjadi lubuk ketenangan bagi suami dan anak-anak.

Maka komunikasi yang berkesan antara pasangan serta keperluan menambah ilmu rumah tangga adalah amat penting dalam menguruskan konflik-konflik dalam rumahtangga.

Nurul Hidayah Asaad
Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat Cawangan ISMA Johor Bahru

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button