Berita Utama

SPRM buka siasatan kes dakwaan disogok RM10 juta

Beberapa saksi dikenal pasti, rakaman percakapan Natrah dilakukan

JOHOR BAHRU, 25 Rejab 1442H, Selasa – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tawaran rasuah RM10 juta kepada Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.

Beberapa saksi telah dikenal pasti dan sudah serta akan dipanggil untuk dirakam percakapan, kata pengarahnya, Datuk Azmi Alias.

Beliau berkata, selain saksi yang dikenal pasti, rakaman percakapan ke atas Natrah juga dijalankan.

Serentak itu, Azmi menggesa semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung perkara itu sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Sekiranya mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa bukti atau keterangan baru sila hubungi SPRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Ahad lalu, Natrah membuat laporan kepada SPRM berhubung cubaan pihak tertentu untuk mendapatkan sokongannya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Natrah Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat laporan itu di SPRM Cawangan Segamat.

“Saya membuat satu laporan kepada SPRM berkenaan satu kejadian percubaan mendapatkan sokongan saya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan janji manfaat yang boleh saya peroleh dengan pemberian sokongan tersebut.

“Kejadian itu berlaku pada 3 Mac lepas dan melibatkan dua individu termasuk seorang yang bergelar Datuk Seri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button