Berita Utama

Tawaran kemasukan ke MRSM 2021 boleh disemak mulai esok

Permohonan rayuan dibuka mulai 7 April hingga 30 Mei

KUALA LUMPUR, 25 Rejab 1442H, Selasa – Keputusan berhubung kemasukan ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sesi 2021 boleh disemak secara berperingkat mulai esok.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azizah Mohd Dun berkata, bagi calon yang berjaya, mereka akan menerima permakluman menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftarkan ketika permohonan.

“Pemohon juga boleh membuat semakan menerusi portal rasmi MARA di www.mara.gov.my. Pemohon atau ibu bapa perlu mengesahkan penerimaan tawaran kemasukan menerusi pautan sistem mymrsm di portal Mara dan sekiranya tidak berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari, tawaran kepada calon dianggap terbatal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi permohonan rayuan, Azizah berkata, ia akan mula dibuka mulai 7 April hingga 30 Mei depan dan permohonan perlu dilaksanakan secara dalam talian.

Pada tahun ini, katanya, MARA telah menerima 102,329 permohonan bagi kemasukan ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 dengan kapasiti kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 adalah 7,783 orang pelajar manakala bagi Tingkatan 4 adalah 2,426 orang pelajar.

“Setakat Februari 2021, pelajar MRSM sedia ada berjumlah 28,087 orang di 53 MRSM,” katanya.

Sementara itu, Azizah berkata, MARA masih meneruskan dasar sedia ada dengan 60 peratus pengambilan adalah daripada golongan berpendapatan rendah (B40), dengan keutamaan juga diberikan kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar.

“Pelajar B40 yang mengikuti pengajian di MRSM tidak perlu bimbang kerana MARA menyediakan program bantuan di bawah program Budi MARA. Pelajar terpilih akan diberi bantuan wang tunai RM1,100 merangkumi yuran persekolahan, pembelian pakaian persekolahan, pakaian harian, keperluan asrama, peralatan persekolahan dan sebagainya.

“Melalui pendekatan ini, ia akan memberi peluang yang lebih besar kepada pelajar dari kalangan B40 untuk mengikuti pengajian di MRSM,” katanya.

Sementara itu, Azizah turut memaklumkan dua MRSM baharu iaitu MRSM ATM Bera, Pahang dan MRSM Bagan Datuk, Perak akan mula beroperasi pada awal Jun depan, sekali gus memberi peluang pendidikan yang lebih besar kepada masyarakat.

MRSM menawarkan enam program iaitu MRSM International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), MRSM International Baccalaureate-Middle Year Programme (IB-MYP), MRSM Ulul Albab, MRSM Program Khas Pendidikan (PKP), MRSM Premier dan MRSM Teknikal di bawah Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button