Berita Utama

Elak diseleweng, kerajaan didesak wujud Akta Dana Politik

Politik bukan batu loncatan raih kekayaan dengan cara mudah

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 26 Rejab 1442H, Rabu – Bagi mengelakkan daripada berlakunya gejala rasuah atau penyelewengan, kerajaan diminta untuk mengkaji kewujudan Akta Dana Politik.

Ini kerana akta sedemikian penting dalam memastikan parti politik terus patuh kepada peruntukan perundangan dalam mengendalikan dana yang disalurkan kepadanya.

Mengakui dana penting dalam operasi sesebuah parti, penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff bagaimanapun berkata, sesuatu perkara perlu memiliki had dan kewujudan akta baharu mampu membendung sebarang perkara tidak diingini daripada berlaku.

Katanya lagi, senario politik semasa memerlukan kematangan dengan mengambil peluang mendapatkan sokongan daripada pelbagai pihak.

“Dengan itu, kita tak perlu guna dana-dana kerajaan atau dana-dana yang tidak sepatutnya.

“Dan kita nak elak daripada rasuah dan penyelewengan parti-parti politik,” katanya seperti dhubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dr Syed Agil menambah, dana politik penting kepada sesebuah parti politik khususnya dalam membiayai aktiviti, operasi dan kempen pada pilihan raya.

Terdahulu, pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof menggesa, kerajaan mempercepatkan pelaksanaan undang-undang dana politik bagi mengelakkan berlakunya salah guna kuasa dalam pengurusan projek pembangunan dan perolehan kerajaan.

Katanya, undang-undang tersebut sudah lama disediakan untuk diluluskan oleh Parlimen namun disebabkan beberapa halangan, ia masih tertangguh.

“Undang-undang berkaitan pembiayaan politik ini penting bagi memastikan penglibatan politik tidak dijadikan batu loncatan untuk meraih kekayaan dengan cara mudah.

“Justeru, kita berharap usaha ini dapat disegerakan dan tidak terus terbantut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button