Berita Utama

Guan Eng cuba ‘panaskan’ isu murtad, BERJASA buat laporan polis

Pemimpin Melayu Islam diminta respon, jangan berdiam diri

SHAH ALAM, 26 Rejab 1442H, Rabu – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Shah Alam, hari ini membuat laporan polis berkaitan kenyataan kontroversi Lim Guan Eng yang mengaitkan tindakan murtad dengan isu wakil rakyat ‘lompat parti’.

Yang Di-Pertua (YDP) BERJASA Shah Alam, Ustaz Fahmi Bazlan berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP itu amat menyentuh sensitiviti umat Islam kerana murtad adalah perkara besar dan tidak boleh dibuat main.

“Saya mengambil tanggungjawab dan inisiatif mewakili BERJASA untuk membuat laporan polis terhadap Guan Eng kerana telah mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja tidak relevan dengan situasi negara dilanda krisis pandemik COVID-19, politik dan ekonomi ketika ini, tetapi juga menyentuh sensitiviti orang Islam.

“Kita tengok dia bermain dengan banyak isu. Sama ada nak membenarkan perbuatan murtad dengan isu lompat parti atau pun nak kaitkan isu lompat parti itu dengan kes murtad yang sedang tular sekarang ini. Dengan tidak semena-mena dia buat kenyataan macam ini seolah-olah nak memanaskan isu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Berikutan itu, Ustaz Fahmi berkata, BERJASA menggesa orang ramai terutama pemimpin politik Melayu dan Islam untuk cakna terhadap isu ini serta membuat laporan polis.

“Kita berharap tindakan ini disusuli oleh pihak lain. Yang penting pemimpin tidak hanya sibuk bergaduh sehingga mengabaikan isu ini dan berdiam diri.

“Saya menyeru sahabat di luar sana, sama ada pemimpin politik dan sebagainya supaya mengambil pendekatan yang sama untuk membela nasib agama dan bangsa.

“Saya yakin jika perkara ini dibiarkan, isu sensitif antara kaum akan menjadi lebih parah. Kita bimbang berlaku krisis baru yang tidak diinginkan. Sehubungan itu, saya meminta agar polis melakukan siasatan terhadap perkara ini dengan segera,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Guan Eng mahu isu wakil rakyat lompat parti akan dibawa ke mahkamah walaupun ia tidak termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.

Katanya, tidak wajar kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempertahankan tindakan wakil rakyat sedemikian sekiranya mereka mendakwa sebagai sebuah pentadbiran yang berpegang pada prinsip-prinsip bersih.

“Sebagai seorang beragama Islam, murtad itu tidak dibenarkan kenapa lompat parti boleh dalam politik? Kami akan tetap rujuk kes lompat parti ini ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang, kelmarin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button