Ismart alternatif baharu umat Islam cari produk halal, berkualiti
Rancang hasilkan produk sendiri, bentuk satu 'supply chain'
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 26 Rejab 1442H, Rabu – “Akhirnya impian kita menjadi realiti, hari ini kita berjaya membuka sebuah pasar mini yang namanya begitu unik, Ismart.”
Demikian kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya pada Majlis Pelancaran Ismart, di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan, usaha ini sudah lama menjadi buah fikiran antara ISMA dan beberapa rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang lain, selepas melancarkan kempen By Muslim First (BMF) atau Beli Produk Muslim beberapa tahun yang lalu.
Sebelum ini, katanya, ISMA bersama rakan dalam Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menguar-uarkan kempen ini bagi membela nasib Bumiputera yang tidak mendapat kedudukan dengan sebaiknya dalam konteks ekonomi.
“Alhamdulillah selepas kempen BMF banyak usahawan telah membuka perniagaan. Ada yang menceritakan penjualan mereka meningkat tiga kali ganda, dua kali ganda, ada yang terpaksa menambah bilangan kedai. Sokongan yang diberikan oleh orang ramai begitu mantap.
“ISMA mempunyai kira-kira 70,000 ahli. Cuba bayangkan seorang belanja RM100 sebulan, kita boleh dapat jualan RM700,000 sebulan.
“Kalau kita ada sokongan 20 peratus sahaja untuk cawangan ini, kita boleh capai RM140,000 sebulan. Setahun RM1.68 juta. Itu baru cawangan di Bangi,” katanya.
Pada masa sama, Haji Aminuddin berkata, impian ISMA tidak terhenti di situ sahaja, dan rancangan untuk membuka lebih banyak cawangan dan membesarkan prospek perniagaan sentiasa ada.
“Kalau hari ini kita ada 39 cawangan ISMA, mungkin kita boleh ada 39 cawangan Ismart seluruh negara pada masa akan datang. Perkara ini bukan mustahil, kekuatan kita, kita ada ‘network’ kita sendiri, ahli sendiri.
“Hari ini kita jadi sebagai penjual, mungkin nanti kita jadi pengeluar, kita ada gudang sendiri,” katanya.
Manakala untuk perancangan masa hadapan juga, beliau berkata, Ismart bakal menghasilkan produk sendiri.
“Kita mahu membentuk satu supply chain yang akhirnya menjadikan kita tidak bergantung pada orang lain. Kita berdikari, kita punyai produk, outlet, ahli-ahli yang beli.
“Ayuh kita berkunjung ke Ismart. Pakat-pakat borong di sini. Kita bawa keluarga, anak-anak ke sini. Insya-Allah kita yakin kita boleh berjaya,” katanya.