Berita Utama

Kalimah Allah: Keputusan mahkamah titik hitam perjuangan martabat perundangan Islam

Mahkamah Tinggi perlu jelas sebab tak ikut ‘precedent’ Mahkamah Persekutuan

BANGI, 26 Rejab 1442H, Rabu – Kebenaran kepada penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan agama untuk mendidik ahli dalam komuniti mereka, merupakan salah satu daripada titik-titik hitam yang telah tertumpah ke atas perjuangan memartabatkan perundangan Islam di negara ini.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, walaupun terdapat syarat dikenakan iaitu penafian hanya untuk orang Kristian dan lambang salib mestilah diletakkan di hadapan kulit buku, ia sangat mengejutkan umat Islam arus perdana.

“Sehingga kini saya masih belum mendapat akses kepada penghakiman penuh keputusan tersebut, oleh yang demikian saya tidak dapat memberi komentar kepada penghakiman itu. 

“Walaupun begitu penghakiman Mahkamah Tinggi ini dilihat bertentangan dengan penghakiman Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titutar Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v Menteri Dalam Negeri.  

“Mahkamah Tinggi perlu menjelaskan kenapakah ia tidak mengikuti ‘precedent’ Mahkamah Persekutuan tersebut,” katanya dalam tulisan di laman Facebook, hari ini.

Beliau menegaskan, pihak-pihak di dalam prosiding Mahkamah Tinggi tersebut perlu merayu terhadap keputusan hari ini ke mahkamah yang lebih tinggi. 

“Selepas satu-satu kes cabaran terhadap perundangan Syariah dibuat. Penghakiman Mahkamah Tinggi ini perlu diteliti dan dikaji kesannya. 

“Setakat ini undang-undang sekatan dan kawalan pengembangan agama bukan Islam berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan telah pun ada di semua negeri di Malaysia selain Pulau-Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak. 

“Pulau-Pinang pula memasukkan kesalahan penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam di dalam seksyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang,” katanya.

Beliau menjelaskan, negeri-negeri yang mempunyai undang-undang tersebut telah memperuntukkan kesalahan menggunakan kalimah-kalimah tersebut sebagai suatu kesalahan jika ia disebarkan kepada orang Islam bagi merujuk kepada agama bukan Islam.

Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini memutuskan bahawa penganut agama Kristian di negara ini boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam pembelajaran agama atau penerbitan buku agama mereka.

Selain ‘Allah’, penganut agama Kristian di negera ini juga boleh menggunakan perkataan ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘solat’ dalam penerbitan mereka.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin yang kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian dalam semakan kehakiman seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland selepas mendapati notis larangan oleh Kementerian Dalam Negeri tidak sah dan terbatal.

Keputusan kes itu hari ini, mengambil masa selama 13 tahun dua bulan, sejak difailkan pada 2008.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button