Berita Utama

Lawatan ke Arab Saudi sangat berjaya: Muhyiddin

Selain meningkatkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Riyadh

RIYADH, 26 Rejab 1442H, Rabu – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi sebagai sangat berjaya.

“Ia sangat berjaya,” kata beliau semasa mengakhiri lawatan pada Selasa (Rabu di Malaysia).

Selain meningkatkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Riyadh, lawatan itu juga membuahkan beberapa hasil positif untuk Malaysia.

Antara perkara penting yang dicapai adalah tambahan 10,000 kuota jemaah haji serta pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan proses prapelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

Perkara lain termasuk perbincangan mengenai kemungkinan Arab Saudi meningkatkan import minyak sawitnya daripada 318,000 tan bernilai RM900 juta tahun lepas kepada 500,000 tan dalam masa terdekat.

Bagi tambahan kuota haji, permohonan itu dibenarkan ketika Muhyiddin menghadap Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu di Istana Al-Yamamah di sini pada hari terakhir lawatan.

Malaysia menjadi negara pertama disenaraikan dalam inisiatif Perkhidmatan Jalan Makkah yang akan memudahkan proses prapelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

“Sebelum ini hanyalah projek perintis. Melalui inisiatif ini, akan menjadi ciri tetap,” kata seorang diplomat.

Memorandum persefahaman mengenai inisiatif itu telah ditandatangani antara kedua-dua negara di istana berkenaan.

Susulan komitmen untuk meningkatkan hubungan ke tahap lebih tinggi, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan Pusat Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia untuk membuka jalan bagi perundingan dan tindakan lanjut secara berkala mengenai hal-hal kepentingan dan manfaat bersama.

“Kami tidak mahu bercakap dan bercakap tetapi tidak ada yang berlaku selepas itu. Kita akan mempunyai mekanisme berstruktur untuk diketuai bersama oleh menteri luar kedua-dua negara,” kata Muhyiddin. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button