Berita Utama

Pertandingan 3 penjuru atau lebih tak dapat dielak lagi

Masing-masing mahu duduk semeja semata mahu 'escapism' kes mahkamah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 26 Rejab 1442H, Rabu – Pertandingan tiga penjuru atau lebih untuk mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah satu ‘bom jangka’ buat kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) yang sudah dapat dijangka sejak sekian lama. 

Naib Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA), AD Satiman melihat ia sebagai satu isu pembahagian kerusi yang tidak akan menjumpai solusinya.

Beliau berkata, pokok perbincangannya, penggabungan dan kerjasama politik yang dibuat antara UMNO, PAS, Bersatu dan lain-lain rakan kongsi, berdiri atas akar yang amat rapuh. 

“Lalu dahan dan ranting kerjasama itu semakin goyah dan menanti rebah. 

“Masing-masing mahu duduk semeja semata-mata untuk habuan dan laba peribadi atau ‘escapism’ daripada mana-mana kes mahkamah. 

“Ini adalah open secret. Satu negara tahu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau memberikan contoh keengganan majoriti ahli bahagian UMNO untuk memberi laluan dan membantu calon Bersatu menang di satu-satu kerusi.

Katanya, ia adalah bukti kegoyahan gabungan politik mereka yang bukan sekadar di peringkat nasional, malah di akar umbi.

“Saya sendiri (sebagai orang luar) hairan, contohnya andai kata PAS dengan begitu mudah menyerahkan kerusi yang sedia mereka tandingi di satu-satu bahagian kepada Bersatu tanpa imbal balik yang sepadan. ‘Apple to Apple’ adalah sewajarnya. 

“Umum tahu, sebagai satu parti politik, membangun dan menjaga satu bahagian bukan kerja ringan. Ia makan masa puluhan tahun dan kudrat tenaga dan wang perlu dicurahkan.

“Bersatu, dari satu sudut lain, perlukan kerjasama dua parti ini. Kerana Bersatu tiada akar umbi,“ katanya

Di pihak pembangkang pula, kata AD Satiman, beliau difahamkan bahawa kerjasama politik hanya akan terbentuk selepas PRU15. 

Ini kerana, tragedi kejatuhan kerajaan 22 bulan itu benar-benar satu mimpi buruk yang tidak mahu diulangi lagi. 

“Mereka tidak mahu terikat dengan apa-apa janji politik atau pembahagian kerusi mahupun Kabinet bayangan sebelum PRU15. 

“Pembangkang lebih selesa ‘open table’ lepas masing-masing dah ada kerusi. Kerana itu, penghijrahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen sesama pembangkang juga rancak. Mereka secara individu mahu memilih bersama ‘the winning side’.

“Kesemua indikator ini membawa kepada satu realiti yang mungkin iaitu pertembungan tiga penjuru atau lebih adalah tidak dapat dielakkan pada PRU15,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa PRU15 bakal menjadi PRU yang amat dinamik soalnya ia menjadi pentas buat parti yang boleh menawarkan solusi dan mentadbir negara supaya menonjol secara signifikan.

“Kerana ini adalah ‘junction’ bersejarah perjalanan negara selepas merdeka 63 tahun. Perlu tampil berani dan menunjukkan perbezaan ultra daripada PN atau PH. Bebas daripada ketidakfungsian PN mahupun kegagalan PH. Rakyat sudah bersedia. 

“Siapa yang mampu memenanginya adalah parti yang cerdik menonjolkan diri ketika keadaan politik negara ‘chaos’. Soalnya, adakah parti sebegitu ada?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button