Berita Utama

4 perkataan termasuk kalimah Allah hak eksklusif Islam!

Cuba kelirukan umat untuk terima agama lain sama dengan Islam

BANGI, 27 Rejab 1442H, Khamis – Empat perkataan termasuk kalimah Allah yang selama ini secara eksklusif diguna pakai oleh umat Islam – namun dibenarkan Mahkamah Tinggi dalam penerbitan pendidikan agama Kristian – telah menimbulkan perasaan curiga dan sangsi.

Selain perkataan Allah, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan tiga perkataan lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Pusat, Datin Noorzaimen A Kadir mendakwa, tujuan pihak berkenaan yang mahu menggunakan keempat-empat perkataan itu tidak lain untuk mengelirukan orang Melayu Islam.

“Mahu berkongsi istilah-istilah yang selama ini secara ekslusifnya diguna pakai oleh umat Islam di Malaysia, adalah supaya umat Islam keliru, terus dalam keliru dan lama-kelamaan akan beransur-ansur memberi toleransi dan menerima agama mereka sebagai sama dengan Islam.

“Mereka mahu masyarakat terutama masyarakat Islam, menyangka bahawa seruan mereka adalah seruan Islam. Kerana apa? Kerana istilah-istilah penting ini serupa. Kita menyembah Allah yang sama, kita juga mengerjakan solat, ada Kaabah dan ada Baitullah!

“Mereka mahu akhirnya masyarakat dapat menerima pluralisme agama di Malaysia. Bahawa semua agama itu sama. Cuma namanya sahaja yang berbeza, tetapi tuhan kita Allah, kita sama-sama solat dan punya Kaabah dan Baitullah,” dakwanya, dalam kenyataan hari, ini.

Terdahulu Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita keturunan Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.

Nor Bee dalam penghakimannya, membenarkan deklarasi dalam mengamalkan kebebasan beragama yang terlindung mengikut Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

“Satu deklarasi bahawa arahan kerajaan yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Penerbitan dalam KDN (Kementerian Dalam Negeri) bertarikh 1986 adalah salah di sisi udang-undang dan tidak berperlembagaan.

“Selain itu, satu deklarasi berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bahawa pemohon dijamin hak kesamarataan di sisi undang-undang dan dilindungi dari diskriminasi antara warga negara antara lain, atas alasan-alasan keagamaan dalam pentadbiran undang-undang,” katanya.

PAUTAN BERKAITAN:

Kalimah Allah: Agenda tersirat pendukung pluralisme?

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button