Berita UtamaPendapat

Allah SWT bukan tuhan ‘trinity’

Muslim perlu sedar ada aliran dalam agama lain musuhi Islam

1.PELBAGAI media pada 10 Mac 2021 melaporkan bahawa mahkamah mengizinkan orang bukan muslim menggunakan nama Allah Subhanahu wa Ta‘ala (SWT).

Secara lebih tepat, perkara ini boleh dilihat sebagai keizinan kepada orang Kristian untuk menamakan tuhan mereka yang berteraskan konsep ‘trinity’ dengan nama Allah SWT.

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) memandang serius perkembangan ini yang mencabar akidah Islam.

2. Daripada perspektif akidah Islam, iaitu perkara paling tunjang dan utama dalam Islam, Allah SWT bukan sesuatu yang ‘trinity’.

Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Ahad, Yang Maha Esa, bukan berganda-ganda (ternafi kam munfasil), bukan pula terpecah-pecah dan terbahagi kepada persona atau ‘hypostasis’ tertentu (ternafi kam muttasil).

Allah SWT adalah tuhan dan pencipta semua manusia dan segala makhluk.

Bertuahnya, hanya umat Muslimin yang mengiktiraf dan beriman bahawa pencipta yang mesti dan sungguh wujud ini tentunya adalah Allah SWT, iaitu Tuhan Yang Maha Ahad, Yang Maha Esa.

Malangnya, orang bukan muslim mencipta pelbagai konsepsi ketuhanan yang dinamakan dengan bermacam-macam nama tanpa kewujudan hakiki (asmā’ sammaytumūhā, Qur’an 7: 71 dan 12: 40).

Daripada perspektif ibadah dan tasawuf Islam pula, sebutan Nama Allah SWT pula merupakan zikir dan ibadat yang dikurniakan ganjaran pahala.

3. Nama Allah SWT adalah kata nama khas yang tidak diterjemahkan walau diucapkan dalam bahasa apa pun.

Demikian juga sebaliknya, kata umum ‘God’ dalam bahasa Inggeris tidak diterjemahkan kepada Nama Allah SWT.

Jika God dalam agama Kristian adalah kata nama khas, maka ia tidak perlu diterjemahkan apabila diucapkan dalam bahasa Melayu.

Jika pula agama Kristian tidak mempunyai nama khas untuk tuhan mereka yang ‘trinity’, maka namakanlah secara sistematik dan teratur.

Asasnya, agama Kristian adalah urusan orang Kristian, tiada orang lain yang wajar campur tangan.

Walau bagaimanapun, apabila Nama Allah SWT hendak diganggu dan disalahguna, maka muslim wajib mempertahankan Nama Yang Maha Sempurna, Agung dan Mulia ini.

4. MUAFAKAT menyeru umat muslimin menyedari bahawa ada aliran tertentu dalam agama lain yang mencabar dan memusuhi Islam dan muslimin, melalui strategi tersembunyi yang diistilahkan sebagai pengkontekstualan (contextualization) atau pemperibumian (indigenization).

Ia merujuk kepada kaedah menyelaputi ajaran agama mereka dengan sifat dan ciri budaya dan bahasa tempatan, agar umat Melayu muslim tidak berasa janggal apabila diperkenalkan dengan ajaran berkenaan.

Ia termasuk menamakan tuhan mereka yang ‘trinity’ dengan nama Allah SWT.

Strategi ini telah dilaksanakan dengan meluas di Indonesia sebagai contoh.

5. MUAFAKAT menghormati sistem perundangan dan kehakiman yang sedia ada di Malaysia.

Justeru, MUAFAKAT menggesa kerajaan merayu keputusan ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Malah, MUAFAKAT menggesa kerajaan menggubal atau meminda apa-apa undang-undang yang relevan untuk memasukkan suatu pernyataan khusus yang jelas mengenai larangan penamaan apa-apa yang selain Allah SWT dengan Nama-Nya Yang Maha Sempurna, Agung dan Mulia.

Tindakan ini adalah selaras dengan sumpah “berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa agama Islam” oleh Ketua Utama Negara Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Dr Wan Adli Wan Ramli
Presiden MUAFAKAT

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button