Berita Utama

Dominasi politikus ‘rasuah’ isyarat kehancuran negara

Gejala rasuah sudah merebak, memayungi banyak agensi kerajaan

BANGI, 27 Rejab 1442H, Khamis – Dominasi golongan politik dalam jenayah rasuah pada ketika ini nyata membimbangkan ramai pihak khususnya berkenaan masa depan negara.

Manakan tidak, rata-rata pemimpin politik ini masih aktif dan memiliki pengaruh kuat untuk diangkat menjadi pemimpin meskipun digelar ‘kluster mahkamah’.

Pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Ab Kadir mempersoalkan, apa akan berlaku sekiranya pemimpin seperti ini terus diberi kepercayaan untuk menerajui negara.

“Apa yang lebih dibimbangi lagi bila ahli politik dominan dalam jenayah rasuah. Kewujudan kluster mahkamah ahli politik merupakan isyarat utama negara berada diambang kehancuran jika kluster ini masih diberi kepercayaan dan kedudukan dalam kepimpinan negara,” dakwanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Ustaz Sharipudin beranggapan, gejala rasuah seolah-olah telah memayungi kebanyakan agensi kerajaan susulan pendedahan penglibatan individu bergelar Tan Sri dan Datuk Seri dalam gejala itu.

“Beberapa hari lepas kita dikejutkan dengan kartel dadah telah mengkeldaikan anggota penguat kuasa dalam pengedaran dadah. Hari ini (semalam) rasuah juga untuk melepaskan PATI Cina.

“Ada dua isu utama. Isu pertama ialah dalangnya adalah mereka yang bergelar Tan Sri dan Datuk Seri. Isu kedua ialah keldai mereka ialah anggota penguat kuasa.

“Tidak salah jika kita mengandaikan mungkin ada lagi VIP yang bergelar ini terlibat dengan pelbagai jenayah yang berasaskan rasuah. Dan kemungkinan ramai lagi keldai yang masih berkeliaran dilindungi oleh dalang-dalang yang lebih mengatasi agensi penguat kuasa yang ada,” dakwanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mendakwa, kebiasaan mereka yang berurusan dengan kumpulan Datuk Seri dan Tan Sri bukan pegawai bawahan.

“Semestinya pegawai paling kanan di peringkat negeri dan Persekutuan. Pegawai bawahan yang tertangkap hanyalah anak ikan kecil kadang-kadang dipaksakan taat.

“Rakyat mengharapkan mereka yang terlibat dengan jenayah ini dihukum setimpal tanpa mengira kedudukan dan pangkat mereka. Jangan biarkan rasuah memayungi semua agensi kerajaan dan kerajaan itu sendiri.

“Jika berlaku senario dalang rasuah memayungi agensi kerajaan terutamanya agensi penguat kuasa negara kita akan menuju kehancuran,” katanya lagi.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM300,000 daripada seorang individu kononnya bagi membantu melepaskan 22 warga China yang ditahan di depoh Imigresen.

Sumber SPRM berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira jam 8.00 malam di Pejabat SPRM Selangor.

Katanya, suspek mendakwa boleh membantu menyelesaikan kes penahanan 22 warga China yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket judi dalam talian dan Macau Scam baru-baru ini.

Sebelum ini, polis mengenal pasti tiga individu bergelar Tan Sri dan Datuk yang disyaki dalang utama kartel dadah antarabangsa yang berpangkalan di negara ini.

Siasatan awal polis juga mendapati mereka berselindung di sebalik aktiviti perniagaan sah seperti perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan besi bagi mengelak kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button