Berita Utama

Institusi Islam, cendekiawan Syariah main peranan pulih COVID-19

Nilai murni selaras tuntutan syarak asas pertimbangan penting

KUALA LUMPUR, 27 Rejab 1442H, Khamis – Kalangan institusi kewangan Islam dan cendekiawan Syariah memainkan peranan penting dalam menyumbang pelbagai agenda serta kaedah bermakna bagi menjayakan proses pemulihan pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata kewangan Islam misalnya perlu memastikan aspek seperti perkhidmatan kewangan dapat menambah nilai serta menghasilkan impak positif ke atas ekonomi dan kemaslahatan masyarakat secara amnya dalam memenuhi tuntutan Islam dengan prinsip Syariah Islam digunapakai dalam pelaksanannya.

“Dalam menangani impak COVID-19, saya penuh yakin bahawa nilai-nilai murni selaras dengan tuntutan syarak merupakan asas pertimbangan penting bagi kerajaan dan industri kewangan Islam secara bersama (untuk) mengambil langkah mencapai tuntutan Maqasid Syariah yang menekankan kesejahteraan agama, kehidupan, akal, keturunan dan harta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam 2021 ke-14 yang diadakan secara maya, di sini, pada Khamis.

Muzakarah tersebut diadakan bersempena Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) Ke-16 yang bermula pada 9 Mac lepas.

Menjelaskan selanjutnya, Zulkifli menegaskan bahawa di Malaysia, tuntutan memenuhi Maqasid Syariah merupakan asas pertimbangan bagi beberapa keputusan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Misalnya, institusi perbankan Islam tidak dibenarkan mengambil kira keuntungan terakru bagi pembiayaan sedia ada dalam penentuan amaun prinsipal yang baharu merangkumi pembiayaan yang distruktur atau dijadual semula.

“Institusi perbankan Islam juga diingatkan supaya bersikap adil serta prihatin dalam berurusan dengan pelanggan serta perihal penentuan kadar keuntungan.

“Semua ini bertujuan meringankan bebanan yang dihadapi oleh pelanggan dan rakyat yang terkesan berikutan pandemik COVID-19,” katanya.

Menurut Zulkifli, beberapa inisiatif produk muamalat agensi agama di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah seperti Inisiatif Waqaf dan Tabung Musaadah COVID 1.0 dan 2.0.

Inisiatif Waqaf merangkumi perkhidmatan wakaf kepada pemegang unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) manakala wakaf air telah mencecah kutipan RM223,461 setakat 31 Januari 2021.

Selain itu, Tabung Musaadah COVID 1.0 dan 2.0 pula berjaya menyalurkan sejumlah RM363.5 juta kepada mereka yang terkesan akibat COVID-19 setakat November 2020, kata beliau.

Mengulas mengenai muzakarah yang bertemakan ‘Kewangan Islam Ke Arah Penyelesaian Ekonomi Semasa”, Zulkifli menyifatkan topik perbincangan seperti kewangan sosial Islam, takaful ketika COVID-19, fatwa-fatwa semasa kewangan Islam dan hala tuju kewangan Islam, amat wajar diperincikan serta sesuai dengan latar belakang ekonomi dan COVID-19 yang dihadapi sekarang.

“Kewangan Sosial Islam yang semakin popular serta selari dengan sistem kewangan moden di kebanyakan negara-negara Islam termasuk Malaysia, sewajarnya diperluas seperti perkembangan sistem kewangan Islam dan perbankan Islam.

“Sudah tentu usaha-usaha bersepadu pihak regulasi (pengawalseliaan) seperti BNM, SC, industri kewangan Islam dan cendekiawan kewangan Islam memperluaskan agenda Kewangan Sosial Islam juga sekali gus dapat melonjakkan sistem muamalat Islam,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button