Pendapat

Kalimah Allah: Agenda tersirat pendukung pluralisme?

Usaha yakinkan masyarakat bahawa semua agama itu adalah sama

KITA musykil, kita hairan dan kita pelik.

Di mana hendak digunakan kalimah-kalimah Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah dalam pendidikan Kristian mereka? Kita sangat-sangat memahami konsep ketuhanan Trinity mereka, sangat bertentangan dengan konsep ketuhanan Allah yang Esa dalam Islam. Apa tujuan sebenar mereka berebut kalimah Allah itu dari kita?

Kalau hujah mereka, kalimah Allah itu sudah diguna pakai sejak zaman jahiliyah lagi bagi orang-orang Arab yang beragama Kristian, ketahuilah, tercatat dalam sejarah, bahawa pada ketika itu ALLAH yang mereka percaya sama seperti konsep Rubbubiyah dalam Islam. Apabila ditanya “siapa yang mencipta alam?” Jawapannya pasti “Allah”.
Kerana memang mereka yakin, tuhan yang mencipta dunia ini adalah tuhan yang bernama ALLAH.

Namun, apabila ditanya, “siapakah tuhan mereka yang sepatutnya mereka tunduk dan patuh kepada perintah-perintahnya?”, jawapan mereka tidak lagi Allah semata-mata.”, kerana bagi mereka yang beragama Kristian, The Father, The Son and The Holy Spirit adalah jawapannya.

Maka kita keliru, apa sebenarnya tujuan mereka?

Penggunaan Solat dalam agama Kristian, mahu digunakan di mana? ‘Mass gathering’ mereka setiap pagi Ahad di gereja-gereja mereka itu mahu disamakan dengan istilah Solat kita dalam Islam? Untuk apa, dan kenapa bersungguh sangat mahukan istilah itu sekarang? Sejak bila penggunaan kalimah solat itu sama ertinya dengan upacara mereka di gereja?

Maka kita keliru sekali lagi, apa sebenarnya tujuan mereka?

Kaabah? Sejak bila mereka merasakan kepentingan perlunya ada satu Kaabah dalam pendidikan agama Kristian mereka? Di mana sebenarnya Kaabah mereka ini? Adakah di Masjidil Aqsa? Kenapa tidak gunakan sahaja istilah The Aqsa, atau apa sahaja istilah yang mereka gunakan selama ini? Kenapa perlu ‘dirampas’ kalimah Kaabah dari orang Islam?

Maka untuk kali yang ketiga, kita kembali keliru. Kita hairan, dan tertanya-tanya, apa sebenarnya tujuan mereka?

Terakhirnya, kalimah Baitullah juga mahu dikongsi penggunaannya dengan kita umat Islam yang telah sekian lama menggunakan kalimah Baitullah yang merujuk kepada Kaabah di Mekah. Apakah mereka juga percaya bahawa Baitullah itu merujuk kepada Kaabah yang dibina oleh Nabi Allah Ibrahim as, yang mereka namakan Abraham? Kenapa Kaabahnya saja nak diambil, tetapi tidak ajarannya? Kenapa kalimah Baitullah, hendak diguna? Untuk dirujukkan ke mana? Baitulmaqdis, yang selama ini mereka panggil Jerusalem? Atau Bethlehem? Teruskanlah dengan penggunaan kalimah-kalimah tersebut, yang selama ini sudah bertahun dan berkurun mereka guna tanpa sesiapa pun menghalang mereka.

Buat kesekian kalinya, kita tertanya-tanya. Kita rasa pelik dan hairan, lalu makin timbul rasa cuak dan curiga. Apa sebenarnya tujuan mahukan keempat-empat kalimah ini sekarang?

Bagi saya, niatnya sudah terang lagi bersuluh. Tujuannya memang untuk mengelirukan kita, terutama orang Melayu Islam. Mahu berkongsi istilah-istilah yang selama ini secara ekslusifnya diguna pakai oleh umat Islam di Malaysia, adalah supaya umat Islam keliru, terus dalam keliru dan lama-kelamaan akan beransur-ansur memberi toleransi dan menerima agama mereka sebagai sama dengan Islam.

Mereka mahu masyarakat terutama masyarakat Islam, menyangka bahawa seruan mereka adalah seruan Islam. Kerana apa? Kerana istilah-istilah penting ini serupa. Kita menyembah Allah yang sama, kita juga mengerjakan solat, ada Kaabah dan ada Baitullah!

Mereka mahu masyarakat keliru, lalu akhirnya berlembut hati dan sanggup bertoleransi kemudian menerima seruan mereka kerana seruan mereka sama seperti seruan Islam.

Mereka mahu akhirnya masyarakat dapat menerima pluralisme agama di Malaysia. Bahawa semua agama itu sama. Cuma namanya sahaja yang berbeza, tetapi tuhan kita Allah, kita sama-sama solat dan punya Kaabah dan Baitullah. Tidakkah ini sangat bertentangan dengan Islam seperti yang terdapat dalam ayat al-Quran, Surah Ali Imran: 19,

“Sesungguhnya agama disisi Allah, hanyalah Islam” ?

Akhirnya, kita sedar tujuan mereka, mereka hanya mahu ‘menawan’ hati masyarakat yang selama ini menggunakan kalimah-kalimah tersebut, agar masuk atau menerima agama mereka, agama Kristian yang sesat.

Bukankah usaha-usaha mereka ini sangat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, dalam bab kebebasan beragama seperti dalam Perkara 11(4) yang berbunyi:

‘Undang-undang negeri dan berkenaan wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pergembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam.’

Dengan itu kita menyeru dengan kuat dan penuh sedar agar pihak Persekutuan, termasuk undang-undang dan mahkamahnya untuk mengawal dan menyekat usaha-usaha licik mereka untuk mengembangkan dakyah mereka kepada umat Islam, sesuai dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

Kesimpulan jelas saya.

Untuk apakah tujuan mereka mahu berkongsi kalimah-kalimah Islam seperti Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah ini, kalau bukan untuk ditujukan dan disasarkan kepada umat Islam itu sendiri? Untuk apa? Untuk ditukar agama mereka dari Islam kepada Kristian. Dan ini mesti dihalang, asbab paling minimanya, kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan, apatah lagi dengan agama Islam yang mulia.

Datin Noorzaimen A Kadir
AJK Wanita Berjasa Pusat

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button