Berita Utama

Sultan Selangor lancar e-Khutbah

Koleksi 23 tahun khutbah bertulisan Jawi dan rumi

KUALA LUMPUR, 10 Jamadilawal 1445H, Jumaat – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan laman web Khutbah Selangor (e-Khutbah Selangor) yang mengandungi semua teks khutbah diterbitkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sultan Sharafuddin bertitah laman web berkenaan menghimpunkan koleksi 23 tahun khutbah bertulisan jawi dan rumi yang terdiri daripada koleksi khutbah dibacakan pada setiap solat Jumaat, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha serta solat sunat gerhana.

“e-Khutbah Selangor turut mengandungi menu untuk carian teks khutbah dan multimedia berbahasa Inggeris.

“Beta berpandangan bahawa khutbah sangat penting sebagai medium ulil amri untuk menyampaikan ajaran agama Islam dengan tepat dan bertanggungjawab. Khutbah adalah medium masyarakat bagi menambah ilmu, kefahaman tentang prinsip-prinsip dan perlaksanaan agama Islam berkaitan akidah, syariah dan akhlak,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah khutbah turut berperanan memberi pendekatan dituntut oleh Islam terhadap isu dan permasalahan semasa selain menjadi media dakwah lisan yang luas liputannya.

Baginda yang menzahirkan rasa berpuas hati dan berbangga dengan mutu khutbah dihasilkan, turut berharap usaha tersebut dapat diteruskan.

“Beta mengucapkan tahniah serta terima kasih atas kerja-kerja yang dijalankan oleh Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin yakin dengan mewujudkan laman web berkenaan, ia akan menjadi bahan bacaan, panduan serta rujukan ilmuan, guru, pelajar dan pendakwah selain boleh dibaca oleh mereka yang tidak berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Selangor atas sebab tertentu, wanita Islam dan masyarakat awam.

Orang ramai boleh membaca khutbah-khutbah yang dimuat naik menerusi e-khutbat.jais.gov.my. – Bernam

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button