Berita Utama

PDRM longgar syarat tiada kredit BM untuk pemohon bukan Bumiputera, orang asli

Keutamaan diberi kepada pemohon boleh bertutur, tulis dalam bahasa Cina, Tamil

KUALA LUMPUR, 27 Rejab 1442H, Khamis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melonggarkan syarat bagi memohon jawatan Konstabel, dengan membolehkan mana-mana calon bukan Bumiputera dan Orang Asli yang tidak memperolehi kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu memohon untuk menjadi polis.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, kelonggaran itu bagi membolehkan lebih ramai bukan Bumiputera menyertai PDRM pada pengambilan khas yang dibuka mulai 18 hingga 31 Mac ini.

Pun begitu, beliau berkata, setelah mereka melepasi temu duga dan dilantik, individu terbabit perlu mengambil semula mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh enam tahun.

“Permohonan warganegara Malaysia bukan Bumiputera bagi jawatan Konstabel Polis Gred YA1 lelaki dan wanita boleh dibuat melalui laman sesawang di https://epengambilanpdrm.rmp.gov.my.

“Pemohon bukan Bumiputera yang pernah membuat permohonan sebelum ini perlu membuat permohonan baru, keutamaan diberikan kepada pemohon yang boleh bertutur dan menulis dalam Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan lain-lain bahasa ibunda,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Dalam pada itu, pemohon juga perlu memenuhi syarat-syarat lain antaranya kelayakan fizikal iaitu tinggi sekurang-kurangnya 163 sentimeter (cm) bagi lelaki manakala wanita (157 cm)

“Berat badan bagi lelaki hendaklah sekurang-kurangnya 50 kilogram (kg) dan 48 kg bagi wanita manakala mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) di antara julat 19 hingga 26.

“Pemohon yang sudah membuat permohonan akan dipanggil ke sesi temu duga yang akan diadakan di bandar-bandar besar di seluruh negara,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, pihaknya turut mengadakan pengambilan khas bagi Orang Asli untuk menyertai PDRM.

“Bagi pengambilan khas Orang Asli semua jawatan iaitu Inspektor Polis Gred YA13, Konstabel Polis YA1, Konstabel Polis Orang Asli Gred YP1 dan Konstabel Polis Gred YT1 terdapt pelonggaran syarat bagi ketinggian iaitu 160 cm bagi lelaki dan 155 cm bagi wanita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button