Berita Utama

Perkemas semula dasar bahasa Melayu untuk pelajar asing di IPT

Contohi ketegasan Jerman, Jepun, China pertahan bahasa kebangsaan

BANGI, 26 Rejab 1442H, Khamis – Sudah tiba masa Malaysia mencontohi teladan ditunjukkan Jerman, Jepun, Korea dan China yang amat cekal memelihara dasar bahasa mereka.

Pensyarah Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mazlina Ahmad berkata, negara terbabit mewajibkan pelajar asing menguasai bahasa kebangsaan dalam tempoh tertentu sebelum memulakan pengajian di negara berkenaan.

Justeru, katanya, beliau turut mencadangkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menstruktur, memperkemas dan menyelaras semula kursus bahasa Melayu untuk pelajar asing di semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) supaya selari dan mencapai standard sebenarnya.

“Ini termasuk melanjutkan kursus sedia ada seperti Bahasa Melayu 1, Bahasa Melayu 2, Bahasa Melayu Penulisan dan kursus lain difikirkan perlu untuk pelajar asing mengetahui dan mampu berbahasa kebangsaan negara ini,” katanya.

Beliau berkata, IPT secara realiti adalah watak utama dalam mendukung dasar bahasa di negara ini.

Katanya, meskipun keutamaan IPT tertumpu kepada subjek akademik dan kursus kemahiran, namun agenda bahasa untuk pelajar asing sama sekali tidak boleh disisihkan.

“Kita perlu akui secara lumrahnya, negara maju dunia menjadikan bahasa kebangsaan mereka sebagai tenaga penggerak pembangunan saksama, iaitu pencapaian kemajuan dan peningkatan kualiti hidup bagi setiap lapisan masyarakat, wilayah dan kawasan secara merata serta menyeluruh.

“Bahasa itu sendiri mendukung fungsi sebagai wahana dan tenaga penggerak terpenting dalam upaya penu-lisan, penyampaian, pemahaman dan penguasaan segala prinsip, dasar amalan dan strategi pembangunan bagi setiap lapisan masyarakat dari setiap wilayah dan kawasan. Inilah hakikat perlu kita sedari,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button