Berita Utama

Speaker: PM silap besar lantik individu berfahaman liberal

Art Harun terpalit pelbagai kontroversi perjuangan songsang

BANGI, 22 Zulkaedah 1441H, Selasa – Walaupun pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Speaker Dewan Rakyat sah mengikut Perlembagaan negara dan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, namun rekod peribadi beliau merupakan isu pokok yang perlu dipertikai.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Lukman Al Hakim mendakwa, Azhar terkenal sebagai individu berfahaman liberal dan sering terpalit dengan pelbagai isu kontroversi seperti enakmen jenayah syariah, pesta arak dan transgender.

Dakwanya lagi, Azhar juga tegas mempertahankan G25, Sister In Islam (SIS) dan golongan pejuang Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang amat konsisten merobek Perlembagaan.

Golongan itu juga, katanya, merosakkan anak muda negara dengan fahaman sesat dan perjuangan songsang yang didalangi kuasa-kuasa dunia yang membenci Islam.

“Agenda perjuangan yang bertentangan dengan sejarah serta identiti negara ini amat berbahaya kepada keamanan, keharmonian serta integrasi nasional yang cuba dipertahankan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bimbang dengan keperibadian Azhar itu, Lukman berkata, jika seorang Speaker Dewan Rakyat mempunyai kecenderungan sebegini, ia pasti akan mencemar kredibiliti serta kemuliaan dewan yang berfungsi menjunjung tinggi Perlembagaan, Rukun Negara dan kedudukan istimewa Islam, bangsa Melayu serta institusi raja sebagai tunjang asas kenegaraan.

“Ini juga merupakan satu lagi kesilapan besar oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mungkin terpaksa dilakukan beliau demi mempertahankan kedudukannya yang semakin terancam,” katanya lagi.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, semalam.

Nama beliau dicadangkan oleh Muhyiddin mengikut Peraturan Mesyuarat 4 (1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat kosong apabila usul dikemukakan Muhyiddin bagi tujuan tersebut berjaya mendapat sokongan 111 undian bersetuju manakala 109 undi menolak dan seorang anggota Parlimen tidak hadir.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button