Berita Utama

KKM jamin bantu hantar doktor, jururawat ke Johor

Johor kurang kira-kira 2,800 kakitangan kesihatan

JOHOR BAHRU, 12 Zulkaedah 1444H, Khamis – Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan akan membantu dalam menyelesaikan isu kekurangan kakitangan kesihatan di Johor dengan menghantar doktor dan jururawat ke dua hospital utama di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata perkara itu dimaklumkan oleh pihak pengurusan KKM yang turun padang melawat Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam.

Beliau berkata Johor ketika ini mengalami isu kekurangan kira-kira 2,800 kakitangan kesihatan khususnya doktor dan jururawat, yang antaranya turut menyebabkan dua wad di HSI tidak dapat beroperasi.

“Perbincangan dengan KMM semalam adalah sangat positif, mereka akan cuba bantu Johor khususnya kedua-dua hospital utama (HSA dan HSI) untuk tambah staf kesihatan dari segi doktor dan jururawat.

“Masalah kekurangan itu turut menyebabkan dua wad di HSI tidak dapat beroperasi. Justeru, pihak KKM beri jaminan kepada Johor, mereka akan bantu untuk hantar doktor dan jururawat secukupnya, bagi memastikan keutamaan dua wad itu dapat beroperasi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ling berkata demikian ketika mengulas mengenai Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menghadapi isu kekurangan kakitangan kesihatan khususnya doktor dan jururawat.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri komited dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi di hospital-hospital awam di seluruh Johor bagi menjamin kesejahteraan dan kesihatan rakyat di negeri itu.

Beliau berkata isu tersebut, merupakan antara isu legasi yang mahu diselesaikannya selain masalah kesesakan di pintu sempadan negara dan kerosakan jalan.

Semalam, Onn Hafiz menerusi hantaran di laman Facebook beliau menyeru kerajaan Persekutuan untuk membantu menyelesaikan isu kekurangan kakitangan kesihatan di Johor pada kadar segera.

Terdahulu Onn Hafiz sempena Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor 2023, turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM200,000 untuk dimanfaatkan seramai lebih 8,000 jururawat di negeri itu. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button