Berita Utama

Syarat baharu kemasukan polis lahir anggota berkualiti rendah: Netizen

'Lahir di Malaysia. Membesar di Malaysia. Berpendidikan di Malaysia. Tetapi kurang pemahaman dalam Bahasa Melayu. Memalukan'

BANGI, 26 Rejab 1442H, Khamis – Keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melonggarkan syarat kemasukan kekosongan jawatan konstabel tanpa kepujian dalam subjek Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada calon bukan Bumiputera dan Orang Asli mendapat reaksi pelbagai pihak.

Di laman Facebook, terdapat netizen yang mnyindir segelintir orang bukan Melayu berikutan tidak mendapat kepujian dalam kertas Bahasa Melayu peringkat SPM, meskipun menjadi rakyat di negara ini.

Pengguna laman Facebook, Ainin Parid dengan sinisnya berkata, inisiatif daripada PDRM adalah bagus, yang menunjukkan orang bukan Melayu tidak fasih berbahasa Melayu.

“Lahir di Malaysia. Membesar di Malaysia. Berpendidikan di Malaysia. Tetapi kurang pemahaman dalam Bahasa Melayu. Memalukan,” katanya.

Mengulas mengenai perkara sama, pengguna yang hanya dikenali Mat Tawe Judoh mempersoalkan, sebab hanya orang Melayu kerap menjadi petugas barisan hadapan termasuk anggota polis, tentera, jururawat dan sebagainya.

“Orang bukan Melayu tak sayang negara mereka?” soalnya.

Sementara itu, pengguna Edwin Ledger dalam tulisannya berkata, pihaknya tidak bersetuju tindakan PDRM melonggarkan keputusan SPM berkenaan.

Beliau berkata, tindakan itu akan melahirkan anggota polis berkualiti rendah.

“Kita memerlukan anggota yang bijak dan berani. Masa untuk tumpukan subjek seperti Fizik dan Matematik,” katanya.

Selain itu, Irwan Anuar berkata, antara alasan paling ketara ramai di kalangan bukan Bumiputera gagal memasuki PDRM disebabkan mereka tidak memperoleh sekurang-kurangnya dua kredit dalam SPM termasuk subjek Bahasa Melayu.

Bagaimanapun, katanya, dalam kemasukan khas kali ini, PDRM memberi peluang kepada mereka menduduki semula dan mendapat kredit dalam kertas Bahasa Melayu bagi tempoh enam tahun perkhidmatan.

“Sekiranya gagal dalam tempoh berkenaan, mereka akan diberhentikan daripada perkhidmatan,” katanya.

Terdahulu, PDRM melonggarkan syarat kepada mana-mana calon bukan Bumiputera dan Orang Asli yang berminat untuk mengisi kekosongan jawatan konstabel tanpa perlu mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Melayu peringkat SPM.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, kelonggaran bagi membolehkan lebih ramai warganegara bukan bumiputera menyertai PDRM pada pengambilan khas yang dibuka mulai 18 hingga 31 Mac ini.

“Kelonggaran syarat itu diberi bagi permohonan jawatan konstabel Gred YA1 lelaki dan perempuan menerusi Pengambilan Khas Bukan Bumiputera. Ia juga sebagai galakan supaya lebih ramai rakyat di negara ini menyertai PDRM.

“Bagaimanapun, mereka yang terpilih ke dalam jawatan perlu menduduki semula subjek Bahasa Melayu peringkat SPM dalam tempoh enam tahun mereka berkhidmat dan perlu lulus dengan kepujian. Sekiranya masih gagal dalam tempoh enam tahun, khidmat mereka akan ditamatkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button