Berita UtamaDunia

UAE, Israel ‘giat’ bincang wujud koridor perjalanan tanpa kuarantin

Kedua-dua negara berhasrat muktamad perjanjian pada April 2021

ABU DHABI, 27 Rejab 1442H, Khamis – Emiriah Arab Bersatu (UAE) tampaknya semakin giat memperkukuh kerjasama dengan negara haram Israel, apabila dilaporkan sedang berbincang untuk mewujudkan koridor perjalanan tanpa kuarantin.

“Koridor perjalanan yang dibolehkan untuk pelancong yang diberi vaksin COVID-19 sepenuhnya, akan memudahkan perjalanan untuk tujuan komersial, pelancongan dan lawatan rasmi,” kata Kementerian Luar UAE.

Kedua-dua negara berhasrat untuk memuktamadkan dan melaksanakan perjanjian tersebut pada bulan April 2021.

“Sebagai negara yang memimpin kempen vaksinasi terpantas di dunia, UAE dan Israel menyatakan komitmen bersama mereka untuk menunjukkan bahawa mengakhiri pandemik memerlukan vaksinasi dan koordinasi yang efektif dan meluas antara negara,” tambah kenyataan itu.

UAE menandatangani Perjanjian Abraham yang dikuasai Amerika Syarikat (AS), bersetuju untuk menormalkan hubungan dengan Israel pada September lalu.

Pada Disember lalu, negara Teluk itu mengaktifkan visa kemasukan pelancong melalui syarikat penerbangan dan pejabat pelancongan untuk pemegang pasport Israel sehingga pengesahan pengecualian visa.

Ketua Kedutaan Israel di Abu Dhabi, Eitan Naeh baru-baru ini mengatakan, Israel sedang mencari jalan yang berpotensi dengan UAE untuk mengembangkan lagi koridor perdagangan dua hala.

Eitan memberitahu agensi berita negara UAE, WAM pada Februari, sekitar 130,000 pelancong Israel mengunjungi UAE sejak lalu lintas udara dilancarkan antara kedua-dua negara, dengan hubungan udara dan laut yang membolehkan lalu lintas barangan melalui penerbangan dalam beberapa jam dan kapal dalam masa 16 hari. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button