Berita Utama

Azeez Rahim gagal batal 13 tuduhan rasuah, ubah wang haram

Hakim beritahu alasan dikemukakan pemohon tidak berasas

KUALA LUMPUR, 26 Rejab 1442H, Khamis – Bekas Pengerusi Tabung, Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Ini berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Abdul Azeez, 54, selepas mendapati kesemua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

“Saya mendapati alasan yang dikemukakan pemohon (Abdul Azeez) adalah tidak berasas. Pemohon juga gagal menunjukkan bahawa pendakwaan terhadapnya adalah bersifat mala fide (berniat jahat).

“Pada pandangan saya, kes ini bukan kes yang sesuai dan wajar bagi mahkamah melaksanakan kuasa sedia ada untuk mengetepikan dan membatalkan pertuduhan terhadap pemohon. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” kata hakim.

Jelas Muhammad Jamil, pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dihadapi Abdul Azeez adalah tidak cacat walaupun empat projek berasingan digabungkan dalam satu pertuduhan kerana suapan yang diterima adalah berkenaan kesemua projek tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button