Berita Utama

Bersungguh mahu guna kalimah Allah untuk misi Kristianisasi?

Tak ada kaitan dengan semangat patriotik kecuali dakyah Kristian

BANGI, 28 Rejab 1442H, Jumaat – Penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian didakwa bukannya berlaku dalam bentuk yang tidak dirancang, sebaliknya strategi yang dipanggil ‘kontekstualisasi’.

Kontekstualisasi secara mudah bermaksud, menggunakan perbendaharaan kata atau istilah atau perlambangan agama/budaya bangsa lain ke dalam agama Kristian untuk tujuan menghampirkan minda penganut agama lain tersebut kepada agama Kristian bagi tujuan menariknya ke agama itu.

Timbalan Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni mendakwa, dalam dakyah Kristian, ia berlaku dengan begitu terancang dan halus.

Sebagai contoh menggunakan perkataan al-Kitab bagi menggantikan perkataan Bible atau Injil. Gereja yang mula dipanggil sebagai Rumah Allah.

Begitu juga seperti menggunakan perkataan Maulid Isa bagi sambutan kelahiran Isa as. Menggunakan perkataan selawat menggantikan nyanyian gereja mereka dan sebagainya.

“Dari situ, kita dapat faham bahawa tujuan orang Kristian bermatian-matian ingin menggunakan kalimah Allah adalah untuk misi Kristianisasi itu sendiri.

“Tidak ada kaitan dengan semangat patriotik untuk bertutur bahasa Melayu, tidak ada kaitan dengan kekeliruan nama tuhan mereka, tidak ada kaitan dengan isu membetulkan ‘kesilapan’ penghakiman mahkamah dan tidak ada kaitan dengan apa pun kecuali hanya untuk dakyah Kristian.

“Mereka akan gunakan apa juga cara untuk itu. Sekarang mereka menggunakan saluran undang-undang. Masa akan datang mungkin mereka akan paksakan dengan cara lain. Dan sebelum ini pun mereka gunakan juga kalimah Allah secara senyap-senyap,” dakwanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Ustaz Fauzi menggesa tindakan sewajarnya dari umat Islam untuk menangani isu dakyah Kristian dan gejala murtad itu sendiri.

“Sebarang usaha dalam isu perundangan hendaklah dijuruskan ke arah menghalang dakyah Kristian itu. Sebarang usaha dialog antara agama juga mesti menjurus ke arah itu.

“Jangan bazirkan tenaga melakukan sesuatu yang mungkin tidak menyelesaikan akar umbi masalah,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button