Pendapat

Guna kalimah Allah cara halus Kristian dakyah orang Islam

Evangelis guna cara dekat dengan adat budaya kaum untuk sampaikan ajaran Kristian

SEMPENA keputusan kes kalimah Allah yang diputuskan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pihak gereja Kristian, adalah molek sekiranya kita ulangkaji sedikit tentang ‘contextualization’ atau kontekstualisasi.

Saya tidak mahu menyentuh soal undang-undang atau kehakiman dalam kes ini kerana ia bukan kemahiran pengetahuan saya.

Apa itu ‘contextualization’? Ia adalah kaedah dakwah (baca : dakyah) orang Kristian (terutamanya Evangelis) yang menggunakan cara-cara yang dekat dengan adat budaya serta kebiasaan sesuatu kaum atau pihak untuk menyampaikan ajaran Kristian.

Menurut portal Christian Today ( https://www.christianitytoday.com/edstetzer/2014/october/what-is-contextualization.html ), mereka menghuraikan bahawa ‘Contextualization involves an attempt to present the Gospel in a culturally relevant way’.

Contohnya, orang Islam sangat dekat dengan perkataan-perkataan seperti Allah (dan boleh jadi kemudian nanti Kaabah, iman, masjid, seumpamanya). Jadi boleh saja menurut kaedah ‘contextualization’, perkataan-perkataan ini diolah supaya maksud ajaran Kristian itu sampai.

Contoh lain, di India pernah kecoh apabila Evangelis Kristian membuat patung Virgin Mary dengan paras rupa wanita India siap pakai sari dan barang kemas yang lazim bagi wanita India, warna kulit pun macam wanita India. ( https://www.aljazeera.com/amp/features/2013/10/17/the-storm-over-virgin-mary-statue ) .

Sebab pihak Evangelis Kristian tahu, kalau buat rupa orang putih, penduduk India anggap itu adalah syiar yang asing buat mereka.

(Ya, di Malaysia ada gerakan siap bertudung dan berketayap seperti yang pernah didedahkan Allahyarham A. Karim Omar )

Kemudian alasan seperti Bible Arab dan Bible Indonesia menggunakan kalimah Allah untuk ungkapkan Tuhan Bapa, untuk memberi justifikasi bahawa Bible atau bahan terbitan Kristian berbahasa Melayu relevan untuk guna kalimah Allah, adalah hujah yang penuh falasi. Bukankah sepatutnya sesuatu agama merujuk kembali kitab asas dan asal agama tersebut dan dengan bahasa apa ia ditulis?

Sebenarnya, bahasa asal kitab Bible ditulis dalam bahasa Greek (New Testament) dan Hebrew serta Aramaic (Old Testament). Kedua-duanya tidak pun menggunakan kalimah Allah untuk mengungkapkan “Tuhan Bapa”. Gunalah “Yahweh”, “Theos”, dan terma-terma bahasa asal Bible.

Dan kalau betul-betul terjemahan Father God dalam Bahasa Melayu adalah Tuhan Bapa bukan? Macam mana jadi Allah? Jadi celah mana pula tiba-tiba wujud translasi perkataan am “tuhan” menjadi perkataan khusus “Allah”.

Jadi adalah satu kepelikan dan menjadi syak wasangka umat Islam di Malaysia khususnya, bahawa permintaan menggunakan kalimah Allah di dalam terbitan Kristian adalah cara halus untuk mendakyahkan orang-orang Islam di Malaysia.

Ia bukan rahsia, banyak sarjana Kristian pun dah terus terang je bahawa mereka akan aplikasikan “qawaid dakwah” mereka antaranya, kontekstualisasi.

Di negeri-negeri dalam Malaysia, telah diwartakan perkataan Allah dan beberapa perkataan lain, adalah khusus untuk digunakan mengikut konteks agama Islam sahaja, iaitu konteks tauhid bahawa Allah bersifat Esa, tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Jadi sangatlah salah untuk mengungkap kalimah Allah sebagai entiti yang ada 3 elemen (Trinity).

Rujukan mengenai terma-terma eksklusif untuk digunakan bagi konteks agama Islam diwartakan :

http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/11448

http://www.mais.gov.my/wp-content/uploads/2019/07/Buku-Kalimah-Allah-Full-Version_BM.pdf

Kalau benar-benar ikhlas ingin bertuhankan Allah, saya menyeru kepada semua bahawa:

بسم الله الرحمن الرحيم

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ١

اللَّهُ الصَّمَدُ ٢

لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ٣

وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ ٤

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang

Katakanlah: Dia (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.

Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan

Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.

Norhidayah Ismail
Aktivis ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button