Berita Utama

Kalimah Allah: Gesa KDN buat rayuan segera, jangan sampai umat Islam ‘bangkit’

Bimbang ancaman bertali arus untuk memurtadkan umat

BANGI, 28 Rejab 1442H, Jumaat – Keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu penggunaan kalimah Allah dan tiga lagi perkataan lain seolah-olah memberi gambaran kedaulatan Islam sebagai agama Persekutuan boleh dicabar oleh sesiapa sahaja.

Atas dasar itu, Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) mendesak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat rayuan segera dan memohon agar perlaksanaan perintah itu ditangguhkan terlebih dahulu sehingga rayuan didengar dan dibicarakan.

Tindakan itu penting demi meredakan kemarahan umat dan memelihara keharmonian di kalangan rakyat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wanita BERJASA mengingatkan kerajaan untuk tidak menunggu sehingga kemarahan umat Islam tidak dapat dibendung lagi, barulah tergesa-gesa memfailkan rayuan berkenaan.

Meskipun menghormati keputusan para hakim dalam kes ini, Wanita BERJASA musykil dengan kecenderungan dan minat pihak berkenaan berebut kalimah yang diguna pakai dengan makna tepat oleh umat Islam selama ini.

Jelasnya, kalimah ‘Allah’ pada umat Islam membawa maksud Allah sebagai Tuhan yang Maha Esa.

Kalimah ini juga membawa pengertian Tauhid di sisi Islam sebagai satu ajaran dan agama yang tidak mensyirikkan Allah kepada dua atau tiga Tuhan yang disembah.

“Manakala kalimah ‘God’ yang hendak ditukar kepada kalimah Allah pada agama Kristian membawa maksud Tuhan itu Tiga (Trinity).

“Maka di situ terdapat potensi besar akan berlaku kekeliruan pada umat Islam, yang sebelum ini sudahpun menghadapi pelbagai percubaan dan ancaman bertali arus untuk memurtadkan umat Islam di negara kita,” katanya.

Pada masa sama, Wanita BERJASA juga mempersoalkan perkara yang akan berlaku kepada enakmen-enakmen di kebanyakan negeri yang melarang penggunaan kalimah-kalimah ini oleh penganut-penganut Kristian.

“Apakah semua enakmen ini bakal dicabar atau dimansuhkan juga?

“Wanita BERJASA bimbang terhadap gerakan dan berterusan dan terancang bagi memurtadkan umat Islam akan dan boleh berlaku dengan lebih agresif dan semakin aktif lagi selepas ini,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Difahamkan, keputusan kes pada Rabu lalu mengambil masa selama 13 tahun dua bulan, sejak difailkan pada 2008.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button