Berita Utama

Kembalikan syarat kredit BM kepada bukan Bumiputera

Longgar syarat ambilan khas Konstabel bukan keputusan bijak

BANGI, 28 Rejab 1442H, Jumaat – Kelonggaran syarat bagi mengisi kekosongan jawatan Konstabel dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini dianggap sebagai bukan keputusan bijak.

Semalam, media melaporkan, mana-mana individu bukan Bumiputera yang tidak memperoleh kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu boleh memohon jawatan Konstabel PDRM.

Kelonggaran syarat itu diberi bagi permohonan jawatan konstabel Gred YA1 lelaki dan perempuan menerusi Pengambilan Khas Bukan Bumiputera mulai 18 Mac ini.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, kelonggaran syarat ini sebagai galakan supaya lebih ramai rakyat Malaysia bukan Bumiputera menyertai PDRM kerana pasukan ini memerlukan khidmat mereka.

“Bagaimanapun, mereka yang terpilih ke dalam jawatan perlu menduduki semula subjek Bahasa Melayu peringkat SPM dalam tempoh enam tahun mereka berkhidmat dan perlu lulus dengan kepujian.

“Sekiranya masih gagal dalam tempoh enam tahun, khidmat mereka akan ditamatkan,” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Amal Sejagat Malaysia, Cikgu Izzat Johari berpandangan, perkara itu bukan keputusan bijak kerana secara tidak langsung ia dianggap penghinaan kepada bahasa kebangsaan.

Walaupun syarat untuk lulus dengan kepujian diberikan dalam tempoh enam tahun, ianya masih dianggap menjatuhkan martabat PDRM dan bahasa Melayu, katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.

“Kepada Ketua Polis Negara, mohon kembalikan syarat kepujian Bahasa Melayu sebagai syarat wajib bagi kemasukan anggota PDRM.

“Kelonggaran yang diberikan bukan idea yang bijak malah menjatuhkan kualiti PDRM itu sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button