Berita Utama

Mana pergi suara lantang pemimpin PN perjuangkan Islam?

Antaranya kes kalimah Allah, hukuman seks luar tabii, RUU 355 pula hilang dari radar, kes penjualan aset TH belum selesai

BANGI, 27 Rejab 1442H, Jumaat – Mana suara pihak-pihak yang lantang dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), sehingga banyak isu berkaitan hal ehwal agama Islam kini diam membisu. 

Walhal, sebelum menjadi kerajaan mereka antara yang lantang, bahkan ada beberapa isu yang berlaku kebelakangan ini mereka pernah perjuangkan. 

Demikian kekecewaan diluahkan Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun terhadap sikap barisan pimpinan kerajaan – yang majoritinya Melayu dan Islam – mengenai kebanyakan siri isu berkaitan agama Islam.

Beliau mengakui kesal apabila beberapa kes mahkamah berkaitan agama Islam tidak memihak kepada Islam, seperti tuntutan status agama anak selepas pasangan bercerai tukar agama, hukuman seks luar tabii dan penggunaan kalimah Allah.

“Mungkin kes mahkamah ini diputuskan oleh fakta dan hujahan yang dibentangkan semasa perbicaraan itu berlaku.

“Namun cuba bayangkan, jika ianya berlaku pada pentadbiran sebelum ini. Sudah pastinya, pelbagai tuduhan dan tohmahan dikenakan yang kerajaan dahulu tidak mengutamakan Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Shahbudin berkata, kini setiap isu penting yang berlaku tiba-tiba menjadi bisu – oleh kerajaan hari ini – tanpa ada kedengaran suara yang membantah keras.

Ini termasuk, isu membabitkan perkahwinan wanita beragama Islam yang menjalankan upacara agama suaminya di India, dan isu seorang usahawan kosmetik mengugut keluar agama, katanya.

“Bagaimana kesudahannya, tidaklah diketahui lagi. Namun, ianya telah memberikan satu gambaran yang buruk bagaimana isu ini tidak ditangani dengan baik,” katanya.

Tidak sekadar itu, beliau berkata, isu memperkasa Mahkamah Syariah menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 juga hilang daripada radar.

“Bukan itu sahaja, tiada siasatan yang dibuat terhadap penjualan aset Tabung Haji secara lambak. Janji untuk diadakan RCI masih tinggal janji.

“Kalau di zaman pemerintahan PH, jalan mudah adalah dengan menyalahkan DAP. Sekarang ini siapa pula yang patut dipersalahkan, atau sekurang-kurangnya dijadikan sebagai kambing hitam?

“Sekurang-kurangnya bersuaralah sedikit, memberikan bantahan atau pun membuat kenyataan yang memperjuangkan agama Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button