Berita UtamaPendapat

Penghakiman kalimah Allah dan Penyelesaian 10 perkara

Rayuan satu-satunya pilihan yang ada oleh pihak kerajaan, Majlis Agama Islam Negeri

UMAT Islam di negara kita dikejutkan dengan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada orang bukan Islam khususnya di Sabah dan Sarawak. Berdasarkan laporan media perdana, mahkamah juga memutuskan bahawa larangan oleh Kerajaan Malaysia yang diwartakan melalui Warta P.U (A) 15/82 dan Pekeliling Kementerian Dalam Negeri KKDN/S59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986 bagi penggunaan empat perkataan eksklusif untuk umat Islam iaitu Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat adalah suatu kesilapan menjadikan perintah larangan tersebut sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Implikasi penghakiman tersebut sekurang-kurangnya pada tahap ini adalah kalimah Allah kini secara sahnya tidak lagi menjadi milik eksklusif agama Islam di Malaysia dan telah boleh dirujuk sebagai tuhan kepada agama Kristian dalam apa-apa penerbitan agama Kristian berbahasa Malaysia dengan syarat hendaklah tertera dihadapan makalah tersebut bahawa ianya adalah “Hanya Untuk Penganut Kristian”.

Apa yang menarik adalah penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 tersebut kelihatannya membuka semula apa yang telah dimuktamadkan dalam polemik tuntutan kalimah Allah sebelum ini. Jika ada yang terlupa, tentunya kita masih boleh menyingkap ingatan bahawa Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun 2014 dalam kes Titular Roman Katholic Kuala Lumpur lwn Menteri Dalam Negeri, Kerajaan Malaysia dan beberapa Majlis Agama Islam Negeri berkaitan sebuah majalah bernama Herald telah mengabsahkan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang antara lain menyatakan bahawa Pekeliling Larangan 1986 oleh Kementerian Dalam Negeri tersebut adalah berperlembagaan dan mempunyai kuatkuasa undang-undang.

Berdasarkan laporan, penghakiman baharu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak Pekeliling Larangan 1986 tetapi memberikan pengiktirafan kepada suatu kaedah penyelesaian Kerajaan Malaysia pada tahun 2011 terhadap cara bagaimana penerbitan dan pengedaran Al Kitab agama Kristian yang diumumkan oleh mantan Menteri Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Idris Jala. Kaedah yang dirujuk sebagai Penyelesaian 10 perkara atau 10 Point Solution ini telah menggariskan antaranya bahawa Al Kitab dalam semua bahasa termasuk Bahasa Malaysia adalah dibenarkan diimport dan dicetak di negara ini dan diakhiri dengan komitmen Menteri-menteri kabinet beragama Kristian untuk mengadakan pertemuan dengan entiti Kristian secara berkala. Dalam kata yang mudah mahkamah kelihatannya cenderung memilih Penyelesaian 10 Perkara tahun 2011 tersebut sebagai sumber perundangan yang sah dan lebih kukuh berbanding Pekeliling Larangan 1986.

Sementara kita menghormati penghakiman dan kebijaksanaan Hakim yang Arif tersebut, tentunya laporan penghakiman ini menimbulkan polemik baharu akan status Penyelesaian 10 Perkara 2011 tersebut berbanding Pekeliling Larangan 1986. Perlu ditegaskan bahawa Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun 2014 dan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Oktober 2013 telah sedia maklum akan kewujudan Penyelesaian 10 Perkara 2011 dan Perintah Larangan 1986 dan mahkamah tertinggi negara ketika itu akhirnya membuat keputusan bahawa Perintah Larangan 1986 adalah berperlembagaan, intra vires dan perlu dikuatkuasakan. Penghakiman mahkamah ketika itu tidak terhad hanya untuk majalah Herald sahaja. Dalam kata yang mudah arahan Kementerian Dalam Negeri Malaysia kepada semua penerbitan beragama Kristian berkaitan larangan empat kalimah yang khusus untuk orang Islam adalah pada setiap masa berkuatkuasa. Perlu juga diketahui bahawa dalam surat bagi larangan empat kalimah tersebut, Kementerian Dalam Negeri Malaysia telah dengan murah hatinya membenarkan dua belas lagi kalimah yang juga sinonim dengan umat Islam untuk digunakan oleh agama lain antaranya adalah firman, rasul, wahyu, iman, ibadah dan nabi. Amatlah juga penting untuk diketahui bahawa dalam Pekeliling Larangan 1986 tersebut, Kementerian Dalam Negeri Malaysia telah dengan jelas menyatakan bahawa Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mempunyai kuasa yang khusus dalam hal ehwal yang berkaitan dengan ajaran agama Islam.

Meneliti kronologi keseluruhan polemik kalimah Allah sejak beberapa tahun terdahulu, kita akan dapati bahawa Penyelesaian 10 Perkara 2011 bukanlah suatu instrumen perundangan yang mengikat tetapi jika diteliti hanyalah bersifat cadangan penyelesaian yang dibuat ketika pilihanraya Negeri Sarawak kerana berlakunya sekatan kemasukan Al Kitab di beberapa pelabuhan negara kita rentetan kes Herald. Jika ia diniatkan untuk menjadi instrumen perundangan yang mengikat, tentunya ianya tidak digubal dalam format yang diakhiri dengan komitmen menteri-menteri beragama Kristian untuk berjumpa wakil kumpulan beragama Kristian yang kelihatannya seperti suatu manifesto.

Limitasi dan kekangan penguatkuasaan Penyelesaian 10 Perkara 2011 ini juga telah pun sebenarnya dibahaskan serta direkodkan di Hansard Parlimen semasa sidang Parlimen ketiga belas bertarikh 11 November 2013. Penyelesaian 10 Perkara 2011 tidak boleh dijadikan hujah untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada orang bukan Islam apatah lagi tidak terdapat sepatah pun nama kalimah Allah dirujuk secara jelas dalam Penyelesaian 10 Perkara 2011 tersebut dan dokumen itu tidak sepatutnya melanggar sempadan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

Kita juga tidak boleh mengambil remeh isu keselamatan dan ketenteraman awam pasca penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini kerana memetik penghakiman tahun 2013 oleh Hakim Abdul Aziz Abd Rahim di Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam kes Herald yang menyatakan bahawa peristiwa-peristiwa yang berlaku sejak penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun 2009 yang membenarkan penggunaan kalimah Allah ketika itu menunjukkan bahawa kebimbangan Kementerian Dalam Negeri Malaysia akan ancaman bahaya keamanan dan keselamatan awam bukanlah suatu khayalan semata-mata kerana ianya telah dimanifestasikan oleh segelintir warga kita hingga mengakibatkan berlakunya serangan terhadap gereja dan masjid serta demonstrasi jalanan yang berterusan. Dalam suasana kita berhadapan dengan pandemik ini, tidaklah mungkin lagi kita mampu untuk berpecah belah hanya untuk memuaskan hati sesetengah pihak yang mahu melangkaui sempadan yang telah sepatutnya dipersetujui bersama.

Tentunya penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang baharu ini tidak boleh terhenti di sini dan rayuan adalah satu-satunya pilihan yang ada oleh pihak Kerajaan Malaysia dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri sebagai institusi yang telah dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan agama Islam di negeri-negeri. Majlis Agama Islam Negeri tentunya turut merasakan bahang tuntutan ini kerana jikalah bahan penerbitan Kristian itu diedarkan di mana sahaja pun di dalam negara kita, ianya dalam sekelip mata akan turut sampai ke hadapan skrin telefon atau komputer rumah di negeri-negeri yang mana mereka telah dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan dan melindungi agama Islam sebagaimana kuasa yang diperturunkan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan secara khususnya melalui Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Negeri. Majlis Fatwa Negeri Johor sebagai contoh telah pada 2 Jun 2008 mengeluarkan suatu fatwa yang antara lain menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan, ditegah serta dilarang atas alasan bahawa kalimah Allah bukanlah kalimah yang sekadar menjadi rujukan bagi nama tuhan semata-mata tetapi lebih dari itu penggunaan kalimah Allah bagi umat Islam menunjukkan keesaan, kemuliaan teragung, pencipta dan pemerintah alam semesta yang sudah semestinya berbeza dengan konsep triniti atau tiga dalam satu yang dianjurkan oleh agama Kristian. Kita tentunya faham bahawa kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam ini akan akhirnya menuju pula kepada isu penyamarataan antara semua agama yang telah pun diperjuangkan oleh beberapa kelompok sebelum ini.

Malaysia dibina dalam bentuk dan acuan kita sendiri hinggalah wujudnya keharmonian antara kaum yang dinikmati hari ini. Tidak semua perkara yang dituntut oleh kaum-kaum itu dapat dilaksanakan dalam negara majmuk ini. Namun ada perkara yang tidak dibenar di negara lain tetapi dibenarkan pula di negara kita. Justeru, sambil kita diajar menghormati dan meraikan kepercayaan semua agama rakyat negara kita sebagaimana yang diamalkan kita selama ini untuk hidup dalam rukun berharmoni, adalah perlu untuk dipastikan bahawa apa yang menjadi milik agama Islam selama ini tidak dapat tidak perlu terus dipertahankan. Pekeliling Larangan 1986 bagi penggunaan kalimah Allah untuk penerbitan agama Kristian tersebut adalah amat wajar dan perlu dipertahankan selari dengan ketertinggian agama Islam yang mana DYMM Raja-Raja Melayu adalah ketuanya.

Oleh:

Dato’ Hj Ikbal Salam
Peguambela & Peguamcara
Johor Bahru

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button