Berita Utama

2 individu berusia 50-an maut dijangkiti wabak rabies

31 kematian direkod sejak 2017, kes rabies pertama untuk tahun 2021

BANGI, 28 Rejab 1442H, Sabtu – Dua individu wargaegara Malaysia berusia 50-an di Sarawak, meninggal dunia akibat dijangkiti wabak rabies, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, kes rabies pertama membabitkan seorang lelaki berusia 52 tahun.

Katanya, mangsa menafikan mempunyai sejarah digigit atau dicakar anjing mahupun haiwan mamalia lain, namun pernah menangkap serta membunuh seekor anjing peliharaan di kawasan rumah pekerja kilangnya pada 17 Oktober 2020 selepas dua pekerja digigit.

“Bagaimanapun, bangkai anjing tersebut tidak diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak untuk siasatan lanjut.

“Pada 31 Januari 2021, beliau telah mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke wad di Hospital Sibu kerana mengalami gejala sakit dada, kebas di bahagian tangan kanan, muntah dan sesak nafas.

“Keadaan kesihatan beliau merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan pada 5 Februari. Mendiang telah meninggal dunia pada 8 Februari dengan punca kematian adalah disebabkan oleh jangkitan rabies,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, kes kedua pula membabitkan seorang warganegara berusia 54 tahun, yang mempunyai sejarah digigit oleh anjing peliharaan pada 26 Disember 2020.

Katanya, mangsa telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 5 Mac lalu, dengan gejala lemah di bahagian kaki, sakit di seluruh badan, demam, mual dan tiada selera makan.

“Keadaan beliau merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan pada 7 Mac 2021.

“Mendiang telah meninggal dunia di HUS pada 7 Mac 2021 dengan punca kematian adalah disebabkan oleh jangkitan rabies,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu adalah kes pertama positif rabies  di Malaysia bagi tahun 2021.

“Pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017 adalah 33 kes dengan 31 kematian.

“Hanya terdapat dua kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button