Berita Utama

Aktivis hak asasi gesa kerajaan kaji semula dasar kebebasan beragama

Pastikan ia selaras Perlembagaan seperti keputusan mahkamah berhubung isu kalimah Allah

 

BANGI, 28 Rejab 1442H, Sabtu – Aktivis hak asasi manusia menggesa kerajaan Sarawak dan Persekutuan untuk mengkaji semula semua dasar berkaitan kebebasan beragama dan memastikan ia selaras dengan Perlembagaan Malaysia. 

Peter John Jaban membuat gesaan itu hari ini setelah keputusan Mahkamah Tinggi minggu ini membatalkan pekeliling Persekutuan 1986 mengenai penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian. 

“Agama telah lama digunakan sebagai isu perpecahan di Malaysia, tidak di dalam masyarakat tetapi sebagai alat politik. 

“Ia melalui pelbagai aspek kehidupan institusi negara, baik dari penukaran perkahwinan yang menjadi paparan simbol agama kepada orang ramai, hingga peruntukan dana awam dan pemilihan pemimpin kita.

“Keputusan mahkamah adalah mesej jelas bahawa Malaysia menghormati dan mewakili kebebasan beragama, yang termaktub dalam Perlembagaan kita dan inilah asas di mana negara kita dibina,” katanya seperti dilapor Malay Mail, hari ini. 

Katanya, kerajaan Malaysia harus melihat Perlembagaan Persekutuan sebagai prinsip panduan dalam semua perundangan dan amalan lain, terutama yang berkaitan dengan Perkara 3,8,11 dan 12. 

Dia mendakwa, kalimah Allah telah digunakan oleh kebanyakan orang dari semua agama di seluruh dunia sejak berabad. 

Malah, dakwanya, ribuan gereja di Indonesia – negara muslim paling ramai di dunia – menyebut ‘gereja Allah’. 

“Selama bertahun-tahun, penduduk Kristian Sabah dan Sarawak telah menggunakan perkataan yang diimport dari bahasa Arab dalam ibadah harian mereka.

“Hanya dalam 40 tahun terakhir ini, kerajaan Malaysia memutuskan untuk mengatur penggunaan bahasa dengan cara ini. Tetapi keputusan mahkamah mengatakan bahawa ini bercanggah dari dasar bersama negara kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button