Berita Utama

Kelonggaran syarat BM untuk PDRM bukti kegagalan kerajaan martabat Perlembagaan sejak merdeka

Dilahir, dibesarkan di Malaysia takkan tak boleh capai standard berbahasa Melayu?

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 28 Rejab 1442H, Sabtu – Kelonggaran syarat bagi membolehkan mana-mana calon bukan Bumiputera yang tidak memperolehi kredit dalam Bahasa Melayu memohon menjadi polis, bukti kegagalan kerajaan sejak merdeka memartabatkan Perlembagaan serta Dasar Pendidikan Nasional secara serius.

Walaupun skim perkhidmatan boleh diberi kelonggaran dalam keadaan tertentu, namun keperluan menguasai bahasa Melayu adalah penting kerana ia termaktub dalam Perlembagaan, selain tunggak kepada dasar pendidikan negara.

Justeru, Presiden Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM), Datuk Sirajuddin Haji Salleh berkata, kelonggaran syarat yang diberikan itu perlu dipertimbang semula, bagi mengelakkan perkhidmatan lain dan Bumiputera juga menuntut pengecualian sama.

Beliau berkata, ketetapan syarat itu juga sepatutnya tidak menjadi masalah bagi orang bukan Bumiputera memandangkan negara sudah lebih 60 tahun mencapai kemerdekaan.

“Bahasa itu menentukan kita sebagai rakyat Malaysia. Mustahil untuk mereka yang dilahirkan, dibesarkan dan bersekolah di sini tidak boleh mencapai standard berbahasa Melayu dan mendapat sekurang-kurangnya kredit dalam mata pelajaran berkenaan.

“Keadaan ini menunjukkan betapa malang sekali, apabila kerajaan sejak merdeka tidak berjaya menegakkan dasar pendidikan kebangsaan dan Perlembagaan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melonggarkan syarat bagi memohon jawatan Konstabel, dengan membolehkan mana-mana calon bukan Bumiputera dan Orang Asli yang tidak memperolehi kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu memohon menjadi polis.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, kelonggaran itu bagi membolehkan lebih ramai bukan Bumiputera menyertai PDRM pada pengambilan khas yang dibuka mulai 18 hingga 31 Mac ini.

Pun begitu, katanya, setelah mereka melepasi temu duga dan dilantik, individu terbabit perlu mengambil semula mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh enam tahun.

Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata, beliau memahami sekiranya kelonggaran itu diberikan kepada Orang Asli dan masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak.

Ini kerana, mereka adalah antara yang mungkin mempunyai kesukaran kepada akses pendidikan atau sekolah berbanding orang bukan Bumiputera yang rata-ratanya berada di kawasan bandar dan kampung.

“Saya bimbang perkara ini akan jadi ‘precedent’ dan beri kesempatan kepada perkhidmatan lain untuk dapatkan pengecualian, maka lama-kelamaan dasar bahasa kebangsaan, Perlembagaan kita dicampak ke bakul sampah.

“Justeru, saya menggesa Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan Dewan Bahasa dan Pustaka mencari kaedah bagaimana menyelesaikan isu ini dalam masa terdekat, supaya ia tidak dibiarkan berlanjutan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button