Artikel Khas

Kenyataan penuh Presiden ISMA sempena Mesyuarat Agung Perwakilan kali Ke-17

KITA berhadapan dengan pelbagai cabaran sama ada baik dari segi agama, politik, ekonomi, social, pendidikan, hak milik tanah dan pelbagai lagi yang mana kalau saya senaraikan kesemuanya pasti akan menyebabkan kita terkedu. Pendek kata orang melayu sudah jauh terpinggir dan dipinggirkan.

Walaupun kita mempunyai kerajaan yang dinamakan sebagai kerajaan Melayu Islam tetapi jiwa dan semangat mereka tidak lagi meletakkan nasib bangsa sebagai agenda perjuangan.

Jadi orang Melayu tidak lagi boleh bergantung harap dengan mereka sebaliknya harus membina pendekatan baru melalui pembinaan generasi baru. Mungkin ini adalah jalan yang sukar dan menukarkan di mana kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran tetapi kita tidak ada pilihan lain.

Bung Hamka pernah berkata “Jangan takut jatuh kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh”

Peranan ISMA dalam penyatuan bangsa Melayu

Kalau nak kira tentang usaha dan pengorbanan kita, ISMA telah menjadi NGO ulung yang berjaya menyatukan parti-parti besar Melayu yang ada hari ini bersama-sama rakan di dalam PEMBELA.

Ketika parti Melayu tergamam, hilang arah tuju disebabkan kekalahan dalam PRU14, ISMA dan rakan-rakan bangun menghidupkan kembali semangat bangsa Melayu apabila kita mengadakan himpunan menolak sekolan vernekular. Himpunan yang pada peringkat awalnya dipandang lekeh oleh parti-parti Melayu akhirnya berjaya menghidupkan kembali semangat mereka.

Semangat ini terus dijulang oleh ISMA dan rakan-rakan PEMBELA sehingga akhirnya terjadilah Himpunan Tolak ICERD yang merupakan himpunan terbesar dalam sejarah negara yang mendapat perhatian dunia dan berjaya merubah senario politik negara.

Ini diikuti dengan himpunan menolak Statut Rom dan pelbagai lagi usaha ISMA yang berjaya menghilangkan kebuntuan dikalangan pemimpin-pemimpin Melayu. Slogan ISMA Melayu Sepakat Islam Berdaulat yang dilaungkan lebih 10 tahun yang lepas yang pada peringkat awalnya mendapat cercaan sebahgian pentaksub politik, akhirnya diterima dan dijulang oleh mereka.

Semua usaha ini adalah bukti kesungguhan ISMA menyatukan orang Melayu dan cuba melakarkan agenda untuk pemimpin melayu. Kita bukan hendak mendabik dada meminta di puji tetapi kita mengharapkan penyatuan orang Melayu ini akan menyebabkan nasib bangsa akan berubah. Namun apa yang diharpakan adalah sebaliknya telah berlaku, bak kata pepatah :-

“Kusangka nanas diatas permatang, rupanya durian tajam berduri
Kusangka panas sampai ke petang rupanya hujan ditengahari”,
“Kusangka aur ditanah seberang rupanya tebu tumbuh dibusut
Kusangka jujur hati orang, rupanya muslihat mencapaikan maksud”
“Kusangka kapal ditengah laut, rupanya terlanggar karang yang ganas
Kusangka kukuh embun dirumput, rupanya hilang ditengah panas”

Saudara-saudari sekelian,

Kita tidak bercakap perkara ini semata-mata untuk merintih atau mendamba simpati tetapi saya ingin menyeru kepada semua ahli sudah tiba masanya kita bangun dan menyuarakan agenda kita sendiri secara telus dan tegas. ISMA perlu segera menonjolkan tokoh di semua peringkat bagi mendapatkan seramai mungkin anasir-anasir yang sanggup menyinsing tangan meredah belantara bersama merubah nasib bangsa.

Survival ISMA

Dalam konteks keberlangsungan ISMA saya menggariskan tiga perkara yang penentu sama ada kita berjaya atau tidak dipersada dakwah.
1. Intelektual Yang Tinggi
2. Kekuatan Kehendak
3. Kreativiti

1. Intelektualiti
Kita sering diingatkan akan kepentingan ilmu dan sentiasa meningkatkan intilektualiti di dalam mengharungi liku-liku perjuangan dakwah. Ilmu ibarat cahaya yang menyuluh dikala kegelapan, yang mampu menilai dan membolehkan kita bertindak secara strategik dan tepat.

Perlu diingat bahawa kejayaan kita bukan di ukur dengan banyaknya aktiviti tetapi sejauh mana aktiviti itu mengenai sasarannya. Kejayaan juga tidak di ukur dengan tepukan dan sorakan yang membingit tetapi sejauh mana ia melukai musuh.

Ini semua memerlukan ilmu dan kefahaman yang tinggi bukan sehaja asas-asas fikrah tetapi juga alam reality. Ibn Khaldun telah menggariskan 3 intelektualiti yang membawa kepada hakikat insaniah :-
i. Intelektual Fundamental (Al Aql Tamyizi)
ii. Intelektual Ekperimental (Al aql Tajribi)
iii. Intelektual Spekulatif (Al Aql Nazari)

Dunia hari ini dan juga masa hadapan bukan lagi zaman kekuatan fisikal di mana siapa yang kuat fisikalnya akan menguasai yang lemah tubuh badannya.

Tetapi zaman ini penguasaan itu adalah ditentukan oleh siapa yang memiliki kekuatan intelektual. Zaman pascamoden memerlukan intelektualiti yang tinggi yang mampu menggarap perkembangan teknologi dan budaya hidup manusia yang sentiasa berubah.

Sejauh mana ahli mampu mengadaptasi kefahaman yang ada dengan realiti yang berada di persada kehidupan maka sejauh itulah kita mampu menarik manusia kepada islam. Oleh itu mendalami ilmu dan sentiasa memperbaharuinya adalah sesuatu yang fundamental.

Ilmu yang mampu membezakan antara anasir yang baik dari yang buruk. Inilah yang dikatakan Intelektual Fundamental.

Saudara-saudari sekelian,

Namun tidak semua ilmu boleh diperolehi melalui kitab dan risalah yang tertulis oleh para ulamak dan pemikir islam tetapi di sana ada ilmu hanya diperolehi dari telaga kehidupan.

Manusia yang gagal menimba dari telaga kehidupan akan pasti gagal dalam menghirup kemuliaan ilmu di alam reality.

Manusia akan hidup pincang atau dalam erti kata lain tidak mampu mengupas masalah, takut berhadapan dengan musuh, kekok berhadapan dengan manusia lain, malu untuk berbicara.

Akhirnya kita akan menjadi intan permata yang indah khabarnya tetapi tidak nampak di mana cahayanya kerana ia tertanam di dalam bumi yang tersalut oleh tanah dan sampah sehingga hilang cahaya yang gemerlapan.

Kita seharusnya menjadi seekor singa yang ngaumannya mengegarkan hutan belantara bukan singa di dalam kandang zoo yang suaranya kuat tetapi tidak digeruni oleh manusia dan haiwan lain.

Hidup sekadar menerima suapan sambil menunggu ajal yang pasti menjelang

Kita sentiasa bercita-cita agar dakwah ini mengalir di setiap lorong di segenap taman dan kampung serta mengetuk setiap pintu rumah.

Inilah harapan yang kita dambakan dan inilah kefahaman fikrah yang diajarkan kepada kita bahawa fikrah ini hidup dan sentiasa dinamik. Hidup dalam erti kata ia dapat difahami dan dijiwai oleh setiap peringkat pemikiran manusia dan dinamik kerana ia mampu mengadaptasi dengan suasana yang ada disekeliling.

Fikrah ini bukan untuk eletist atau golongan centrist tetapi ia adalah untuk seluruh umat manusia disetiap peringkat. Namun perkara ini mustahil dapat kita capai tanpa ada perubahan pemikiran dan cara kita bekerja.

Saya sering membicarakan tentang keperluan mendepani kehidupan masyarakat dalam kita hendak menyampaikan dakwah. Di sini sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa dakwah ini hanya mampu diterima oleh masyarakat apabila kita mula menyantuni permasalahan yang mereka hadapi.

Tidak cukup dengan mengadakan kuliah-kuliah dan forum atau melebarkan jaringan media social kerana apa yang masyarakat hadapi jauh berbeza dari apa yang kita perkatakan.

Selagi dakwah ini tidak menyantuni hati naruni mereka maka selagi itu ia akan tinggal sebagai slogan yang terapung yang gagal berlabuh di permukaan bumi. Hati Nurani rakyat tidak berada pada kalam-kalam hujah tetapi ada pada tangan-tangan yang memimpin.

Oleh itu saya menyeru ahli-ahli terutama diperingkat kepimpinan untuk melihat perkara ini dengan serius dan mula merubah cara kita bermuamalah dengan rakyat disekeliling.

Fahami masalah yang mereka hadapi dan mengangkatnya sebagai agenda didalam slogan dakwah kita. Dari sini akan lahir kematangan dan hikmah kepada pendakwah dan melihat sesuatu dengan pandangan sebagai pemimpin bukan hanya pengikut. Inilah yang saya maksudkan sebagai Intelektual Eksperimental.

Pendakwah akan menjadi buntu dan dakwah akan terbantut tanpa ada elemen spirituality yang tinggi. Setiap cita-cita yang tinggi tidak akan dapat dicapai tanpa ada harganya.

Kita akan berhadapan dengan pelbagai masalah dan rintangan samada dari aspek masa, tenaga, wang ringgit atau apa saja. Sebagai manusia yang lemah adalah mustahil kita dapat menyelesaikan semuanya tanpa ada pertolongan dan petunjuk dari Allah swt. Ada perkara yang kita mampu selesaikan tetapi ada perkara yang kadangkala diluar kemampuan pemikiran dan perancangan kita.

Di sinilah kita memerlukan petunjuk dari Allah swt yang diberikan kepada hambanya yang soleh melalui ilham. Ilham yang khusus kepada hambanya yang ikhlas yang meletakkan sepenuh hidup mereka dibawah perancanganNya.

Walaupun kita merancang dengan segala kekuatan pemikiran yang dianugerhakan tetapi hakikatnya kita menyerahkan sepenuhnya kepada Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Menentukan. Semakin kita merendahkan diri ke bumi maka semakin tinggi kita diangkat dilangit. Ilham inilah yang saya maksudkan sebagai Intelektual Spekulatif.

“…..Dan hamba-Ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunnah diluar yang fardhu) maka Aku akan mencintainya. Dan jika Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepadaku niscaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan dari-Ku niscaya akan Aku lindungi.“ (Riwayat Bukhari).

2. Kekuatan Kehendak
Seorang rakyat Jepun yang berusia 80 tahun dan baru mengalami pembedahan jantung telah ditanya bagaimana beliau mampu mendaki gunung Everest dalam keadaan demikian. Beliau menjawab disebabkan “kehendak yang tinggi” yang membolehkan beliau melepasi segala rintangan yang ada.

Satu keadaan yang sukar dipercayai dalam keadaan biasa tetapi membuktikan bahawa kehendak yang tinggi akan menjadikan sesuatu yang mustahil kepada reality. Oleh itu sangat penting bukan sahaja mempunyai cita-cita yang tinggi tetapi mesti disertai dengan kehendak yang kuat. Mathatma Ghandi pernah berkata “kekuatan itu bukan datang dari kemampuan fisikal tetapi kekuatan kehendak”

Maududi pernah menggambarkan cabaran seorang pendakwah itu ibarat seorang yang mendaki bukit dengan membawa beban yang berat. Dalam masa yang sama seluruh manusia menuruni bukit tersebut.

Bukan saja terpaksa membawa bebanan tetapi bertembung dengan arus manusia yang ramai dan laju. Kesukaran hidup para pendakwah ini digambarkan oleh Bung Hamka yang pernah berkata “hidup ini bukanlah jalan yang datar dan ditaburi bunga tetapi adakalanya disirami dengan airmata”

Kehendak yang tinggi akan melahirkan semangat juang yang tidak pernah putus asa, bersedia untuk merempuh segala onak dan duri. Sebaliknya kehendak yang lemah akan mudah di kalahkan dengan halangan-halangan yang kecil, malas untuk berfikir dan melihat kegagalan itu bukan kerana kekurangan diri tetapi kesalahan orang lain. Nelson Mandela pernah berkata “Keghairahan tidak akan terjelma dalam membuat perkara-perkara kecil”.

Oleh itu kita harus berfikir secara besar dan melaksanakan kerja yang besar. Orang yang berfikir perkara besar tidak akan mempedulikan halangan-halangan yang kecil kerana ia menganggap bahawa itu hanyalah perkara enteng yang tidak perlu diberi perhatian sangat.

Ia tidak akan tergugat, hatinya tidak gundah gulana dalam menghadapinya kerana misi hidupnya jauh lebih besar dan mulia. Muhammad Ali pernah berkata :-
“Untuk menjadi juara yang hebat anda harus percaya anda orang terbaik, jika tidak berpura-pura lah”

“Saya benci pada setiap minit saya berlatih tetapi saya berkata, Jangan berhenti. Menderitalah sekarang tetapi kamu akan jalani sisa hidupmu sebagai seorang juara”

Inilah peribadi yang berjaya menggegarkan dunia apabila beliau sanggup dipenjarakan dan membuang pingat emas di dalam sungai yang diperolehi disukan olimpik, yang menjadi impian dan igauan setiap atlet di atas muka bumi ini, semata-mata mahu mencapai kehendak yang kuat untuk menuntut keadilan.

Jadi saya mengajak setiap ahli berfikir sebagai juara, berjalan sebagai juara dan bermuamalah dengan manusia sebagai seorang juara. Rasa izzah ini bukan saja akan melahirkan keyakinan diri tetapi dalam masa yang sama kegerunan kepada musuh.

3.Kreativiti
Salah satu ciri penting yang perlu ada pada para pendakwah ialah sifat kreatif atau ibdaie iaitu sentiasa mencetuskan idea-idea baru dalam berdakwah. Dengan perkembangan teknologi yang merentas sempadan, budaya generasi yang semakin berubah, limpahan maklumat didalam sesawang, perpindahan hidup dari suasana kampung kepada bandar – ini semua memberi kesan kepada pemikiran dan pandangan masyarakat. Ini jelas tergambar kepada sikap dan pemikiran generasi muda kini yang tidak lagi menerima cara dan pendekatan ortodoks.

Saya menyeru semua ahli teruatama sayap pemuda dan pemudi (wanita) untuk mengkaji dan mencuba idea-idea baru. Timbalah pengalaman-pengalaman ditempat lain, banyakkan mengembara mencari idea samada di dalam mahupun diluar negara.

Satu ketika dahulu umat islam sudah bosan dengan alunan nasyid yang berteraskan muzik arab dan berirama lama tetapi diawal 90an muncul kumpulan Raihan dengan membawa pendekatan baru sehingga menggegarkan negara malah merubah pendekatan nasyid diseluruh dunia. Inilah yang saya maksudkan dengan kreativiti.

Seorang usahawa China yang terkemuka, Jack Ma pernah ditanya bagaimana dalam masa yang singkat beliau boleh menjadi orang terkaya di China dengan jualan melebihi USD500 billion, beliau berkata “Don’t be the best but be the first” tetapi saya ingin menyatakan kepada semua ahli “Be the first and the best”. Albert Eisntein, Thomas Edison, Adik Beradik Wright adalah manusia yang pernah dianggap mempunyai idea gila tetapi kegilaan inilah yang telah merubah dunia.

Akhir Kalam

Saudara-saudari sekelian,

Sebagai akhir kalam, saya menggesa ahli disemua peringkat, jangan sesekali kita berputus asa atau merasa kecewa kerana itu adalah saat dimana kita mula meniggalkan dakwah. Ini bukan persoalan organisasi tetapi persoalan tanggungjawab kepada Robuljalil.

“Berangkatlah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat; dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

Seorang pejuang anti-aparteid, Marthin Luther King pernah berkata :
“jika kamu tidak boleh terbang, maka berlarilah
Jika kamu tidak boleh berlari, maka berjalanlah
Jika kamu tidak boleh berjalan, maka merangkaklah
Walau apa cara sekalipun, teruskan perjalanan”

Gendang perang lantang kedengaran
Burung dihutan sayup kedengaran
Keris ku genggam pedang ku libaskan
Membujur lalu melintang ku patahkan

Kepada jawatankuasa yang menjayakan AGM kali ini saya mengucapkan jazakumulahuakhairan kathira, kepada semua pimpinan ISMA di semua peringkat saya mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberi untuk saya memimpin ISMA selama dua tahun yang lepas.

Keris Disanding bersama tombak
Diasap setanggi bunga Teratai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah ditepi pantai

Burung Helang Terbang Menjerit
Unggas melayang jadi mangsanya
Keris disandang pedang diheret
Takut berjuang apa gunanya

Wallahualam

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button