Berita Utama

Kerajaan boneka kuasa asing jadikan Melayu bangsa mundur

Sistem dan orientasi pendidikan negara perlu diubah dengan memelayukan thaqafah serta ilmunya

BANGI, 29 Rejab 1442H, Sabtu – Kerajaan boneka dan proksi kepada kuasa asing atau al-‘amalah telah menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang mundur.

Lebih menyedihkan apabila perlu menelan hakikat bahawa orang Melayu kini sudah jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek di negara sendiri.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman menegaskan, lebih 60 tahun mencapai kemerdekaan tidak membawa apa-apa kejayaan bermakna kepada Melayu.

Katanya, orang Melayu mungkin sedikit meningkat dengan memiliki perniagaan, tetapi identiti serta masa depannya sudah hancur dan tidak mungkin mampu menyaingi bangsa lain sampai bila-bila.

“Status negara kita tidak berubah. Kesetiaan kita kepada penjajah tidak juga menjadikan kita negara maju. Kita kekal dengan status negara ketiga, pengeksport komoditi, pengguna produk dan teknologi, serta bergantung kepada belas ihsan orang lain dari sudut keselamatan dan pertahanan.

“Status ini harus berubah. Adalah tidak masuk akal andainya kita masih leka, sedangkan negara-negara lain jelas akan mendahului kita. Mereka memiliki pelan pembangunan kuasa nasional yang jelas untuk mengambil posisi masing-masing menjelang 20-30 tahun ke hadapan sedangkan kita tidak mempersiapkan apa-apa.

“Kita masih kelam-kabut dan berputar-putar tidak tahu hendak ke mana. MU2040 (Malaysia Unggul 2040) memberi jawapan dan harapan kepada persoalan besar tentang masa hadapan Malaysia sebagai sebuah kuasa nasional yang unggul maju, kuat dan berdaulat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Perwakilan ISMA kali Ke-17, hari ini.

Ustaz Abdullah Zaik menegaskan, ISMA sebagai gerakan Islam beriltizam untuk mengubah sistem pendidikan negara yang telah menjamin kesinambungan monopoli golongan ‘anglophile’ dari generasi ke generasi.

Jelasnya, sistem pendidikan negara selama ini memberi ruang kepada thaqafah sekular yang menjadikan mereka menguasai bahasa serta budaya asing sebagai cemerlang.

Oleh itu, tegasnya, sistem dan orientasi pendidikan negara perlu diubah dengan memelayukan thaqafah serta ilmunya.

“Bangsa ini tidak perlu lagi menguasai bahasa Inggeris dan mengamalkan cara hidup Inggeris untuk menguasai berbagai bidang ilmu pengetahuan. Dengan itu, majoriti orang Melayu boleh menjawat jawatan penting dalam sektor awam dan juga swasta, dan terlibat dalam arus perdana pembangunan negara.

“Negara yang dibangunkan di atas dasar keilmuan yang sekular itu telah menafikan hak keilmuan yang sebenar untuk mewarnai pembangunan negara. Justeru, suatu tajdid perlu dilakukan dalam definisi ilmu pengetahuan.

“Selama lebih 60 tahun, kita telah mengadaptasi acuan Barat dan akibatnya kita telah gagal. Oleh kerana itu, kita perlu bangun semula dengan naratif peradaban kita sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button