Berita UtamaIstimewa

Misi ‘wujud siasi’, ISMA selangkah ke arena politik negara

ISMA buat persiapan rapi dengan pakej kerja baharu yang menyeluruh babitkan seluruh sektor

BANGI, 29 Rejab 1442H, Sabtu – Bertitik tolak kepada kesedaran bahawa realiti dunia sedang berubah, gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berpendirian, sudah tiba masa untuk mengorak langkah ke dalam arena politik negara.

Bagaimanapun, misi gerakan Islam itu pada masa ini lebih kepada memastikan ‘wujud siasi’ atau kehadiran mereka diterima sebelum mengambil posisi mencatur politik negara sama ada disukai ataupun tidak.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, tanggungjawab sebagai pemerintah bukanlah sesuatu yang mudah, tambahan pula berada pada situasi dunia semakin keliru dan mencabar.

Katanya, sistem secara keseluruhannya tidak memihak kepada Islam dan kegagalan membuat persiapan hanya akan mempamerkan model-model kegagalan berbanding kejayaan.

“Jika dikira dari tarikh penubuhan pada tahun 1997, usia ISMA kini telah mencecah 24 tahun. Selama tempoh tersebut, ISMA telah bergelumang di medan dakwah dan tarbiah, dan kini sudah sampai masanya ISMA mengorak langkah ke arena politik pula.

“Kita telah memulakan penglibatan kita di dalam arena politik sebelum ini dalam Pilihan Raya Umum ke-13 dan kita akan meneruskan usaha ini dengan penglibatan yang lebih strategik pada masa yang akan datang.

“Ia bermula dengan kesedaran bahawa realiti dunia sedang berubah. Gerakan Islam akan memasuki fasa 100 tahun yang baharu yang memerlukan kepada tajdid. 100 tahun yang lalu adalah era kebangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Perwakilan ISMA kali Ke-17, hari ini.

Ustaz Abdullah Zaik berkata, mengambil pengajaran dan iktibar daripada situasi yang berlaku di dalam dunia Islam, ISMA telah membuat persiapan rapi dengan pakej kerja baharu yang menyeluruh melibatkan seluruh sektornya.

Katanya, keterbatasan usia, wang dan tenaga tidak menjadikan ISMA berasa kerdil kerana motivasi serta aspirasi pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) itu datang dari keimanan kepada Allah SWT.

Kata beliau lagi, dakwah di 100 tahun yang baharu tidak lagi berpada dengan sekadar retorik atau penyataan umum tanpa mengemukakan alternatif secara praktikal.

“Kita juga sering bercakap tentang acuan kita sendiri, tetapi tidak memperincikan apakah sebenarnya bentuk acuan kita itu. Kita juga bercakap tentang Islam yang syumul, tetapi tidak pernah mengemukakan apakah bentuk prototaip kepada kesyumulan itu dalam bentuk sistem yang lengkap sesuai dengan falsafah peradaban Islam.

“Oleh itu, ISMA tidak akan mengulangi kesilapan itu dan tidak akan hanya beretorik lagi. Sebaliknya, ISMA akan mengemukakan model sistem hidup yang lengkap dan menyeluruh secara terperinci berasaskan falsafah peradaban Islam yang kita telah bangunkan.

“Sistem hidup yang membebaskan mereka dari kongkongan Taghut dan mengangkat hakikat keinsanan mereka, memakmurkan muka bumi dan membawa mereka kepada kehidupan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button