Berita Utama

Orde Baru Islam 2121, Malaysia Unggul 2040 susuk baharu harakah Islamiyah ISMA

Beri tumpuan kepada gerakan dakwah untuk 100 tahun kedua akan datang

BANGI, 29 Rejab 1442H, Sabtu – Cabaran dakwah yang semakin getir memerlukan sesebuah organisasi Islam memiliki hala tuju sistematik, inovatif dan pada masa sama masih berpandu kepada hidayah.

Atas dasar itu, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memperkenalkan gagasan Orde Baru Islam 2121 (OBI2121) dan Malaysia Unggul 2040 (MU2040) sebagai susuk baharu harakah Islamiyahnya.

Amir ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, gagasan berkenaan memberi tumpuan kepada gerakan dakwah untuk 100 tahun kedua mendatang atau juga dikenali sebagai ‘miawiyyah.

Fasa perjuangan baharu itu juga jelasnya, bakal bergerak mengikut perancangan yang jelas dari permulaan, pertengahan dan sehingga ke akhir destinasi dituju.

“Dua tahun telah berlalu, hasil kerja keras yang dilakukan oleh kita semua, alhamdulillah, kini ISMA bersedia untuk mengibarkan layar dan mengangkat sauh, memulakan pelayaran baharu dakwah bagi mengharungi 100 tahun kedua dakwah dengan realiti baharu yang lebih mencabar.

“ISMA akan merealisasikan agenda tajdidnya hanya menerusi dua perancangan. Orde Baru Islam 2121 (OBI2121): Gagasan 100 tahun yang melangkaui batas usia dan sempadan geografi.

“Malaysia Unggul 2040 (MU2040): Merupakan fasa pertama bermatlamat membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara unggul yang memiliki kuasa nasional bertaraf dunia dan akan menjadi tapak peradaban Order Baru Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Perwakilan ISMA kali Ke-17, hari ini.

Pemimpin gerakan Islam itu berkata, dua gagasan tersebut memiliki 12 ciri atau prinsip yang meliputi aspek rabbani; istisyraf mustaqbal; syumul; tajdid peradaban; realistik dan global.

Katanya, gagasan berkenaan dibangunkan berasaskan fakta dan kajian yang menjadikannya bersifat ideal dan bukan sekadar suatu angan-angan kosong.

Katanya lagi, susuk baharu perjungan itu bakal menjadikan ISMA terus relevan dan berkembang mengikut perkembangan masa iaitu ciri manhaj yang sentiasa seimbang.

“Demikian corak kerja baharu ISMA di masa hadapan yang sistematik, inovatif, berpandukan hidayah, mementingkan ilmu, profesional dan sentiasa berkembang. Struktur baharu yang dinamik dan semangat yang sentiasa baharu (mutajjid) di luar batasan limitasi.

“Sebagai sebahagian daripada pembaharuan tersebut, hari ini kita akan melakukan perubahan terakhir kepada struktur, pertukaran portfolio dan pelantikan kepimpinan baharu di semua peringkat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button