Berita Utama

Pemimpin Melayu tak lagi letak bangsa sebagai agenda perjuangan

Orang Melayu kini berdepan pelbagai cabaran jauh terpinggir, dipinggirkan

BANGI, 29 Rejab 1442H, Sabtu – Meskipun negara ini diterajui oleh kerajaan Melayu Islam, namun semangat para pemimpinnya tidak lagi meletakkan nasib bangsa sebagai agenda perjuangan.

Lantaran itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Haji Aminuddin Yahaya berkata, orang Melayu tidak lagi boleh bergantung harap kepada mereka, sebaliknya harus membina pendekatan baharu melalui generasi baharu.

“Mungkin ini adalah jalan yang sukar dan menyukarkan, di mana kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran tetapi kita tidak ada pilihan lain.

“Bung Hamka pernah berkata: “Jangan takut jatuh kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh,” katanya dalam ucapan sempena Mesyuarat Agung Perwakilan ISMA kali ke-17, hari ini.

Jelas Aminuddin, orang Melayu sudah jauh terpinggir dan dipinggirkan di mana mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Ini termasuk dari segi agama, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, hak milik tanah dan pelbagai lagi yang mana kalau saya senaraikan kesemuanya pasti akan menyebabkan kita terkedu,” katanya.

Tambahnya, ISMA telah menjadi badan bukan kerajaan (NGO) yang berjaya menyatukan parti-parti besar Melayu yang wujud ketika ini bersama-sama Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA).

“Ketika parti Melayu tergamam, hilang arah tuju disebabkan kekalahan dalam PRU14, ISMA dan rakan-rakan bangun menghidupkan kembali semangat bangsa Melayu apabila kita mengadakan himpunan menolak sekolan vernakular.

“Himpunan yang pada peringkat awalnya dipandang lekeh oleh parti-parti Melayu akhirnya berjaya menghidupkan kembali semangat mereka,” katanya.

Katanya lagi, semangat sama terus dijulang oleh ISMA dan PEMBELA sehingga terjadi Himpunan Tolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), yang juga himpunan terbesar dalam sejarah negara yang mendapat perhatian duna dan berjaya mengubah senario politik negara.

“Ini diikuti dengan himpunan menolak Statut Rom dan pelbagai lagi usaha ISMA yang berjaya menghilangkan kebuntuan dikalangan pemimpin-pemimpin Melayu.

“Slogan ISMA Melayu Sepakat Islam Berdaulat yang dilaungkan lebih 10 tahun yang lepas yang pada peringkat awalnya mendapat cercaan sebahgian pentaksub politik, akhirnya diterima dan dijulang oleh mereka.

“Semua usaha ini adalah bukti kesungguhan ISMA menyatukan orang Melayu dan cuba melakarkan agenda untuk pemimpin melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button