Berita Utama

Agenda kristianisasi di sebalik penggunaan kalimah Allah

Konsep triniti tak memungkinkan mereka beriman dengan keesaan Allah

BANGI, 1 Syaaban 1442H, Ahad – Keghairahan pihak penganut Kristian menuntut kebenaran penggunaan kalimah Allah adalah strategi sulit dan licik untuk melaksanakan agenda kristianisasi, kata Ketua Perhubungan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Negeri Kelantan, Ustaz Sharipudin Ab Kadir 

Beliau berkata, strategi ini merungkaikan sedikit demi sedikit dan secara tersusun idea menolak konsep tauhid keesaan Allah yang menjadi pegangan asas akidah umat Islam. 

“Begitu bersungguh puak Kristian ingin menggunakan kalimah Allah. Adakah mereka beriman dengan Allah yang Maha Esa atau mereka menghina Islam keseluruhannya. 

“Konsep triniti tidak memungkinkan untuk mereka beriman dengan keesaan Allah, bahkan konsep itu sebenarnya telah menyesatkan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Apa yang lebih menggusarkan, kata Ustaz Sharipudin, apabila mereka dapat menggabungkan antara kalimah Allah dengan konsep triniti, lalu lama-kelamaan orang Islam akan merasakan Islam dan Kristian adalah satu agama yang boleh saling sembah-menyembah.

“Kononnya tidak salah untuk orang Islam menyembah salib tetapi penganut Kristian akan kekal dengan cara mereka. 

“Ini kerana strategi mereka adalah agenda kristianisasi yang telah berjalan berkurun-kurun lamanya,” katanya.

Beliau menegaskan, umat Islam harus melihat secara sedar agenda kristianisasi yang berlaku sekarang ini. 

“Kristian sekali-kali tidak akan menerima keesaan Allah sebagaimana pegangan kukuh penganut Islam kerana ianya bercanggah dengan konsep triniti mereka,” katanya.

Justeru, beliau hairan jika ada kumpulan orang Islam yang menyokong tuntutan ini kerana merasakan Kristian telah menerima Allah sebagai Tuhan. 

“Sangka baik kumpulan ini amat jauh dari memahami tipu daya musuh musuh Islam. Kumpulan naif yang begitu mudah menyerah dan terperangkap dengan agenda licik musuh Islam. 

“Mereka menyangka bahawa dakwah dengan rahmah yang mereka bawa telah berjaya mengubah pegangan penganut Kristian untuk mengenali Allah. 

“Alangkah dangkalnya akal mereka ketika berdepan dengan agenda licik musuh,” katanya.

Walhal, hakikatnya, sangkaan sedemikian menggambarkan kelemahan mereka menguasai sejarah pertembungan antara Islam dan Kristian yang telah melalui siri jihad berkurun-kurun lamanya sehingga kejatuhan Khilafah Othmaniah. 

“Musuh Islam tidak cukup dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniah sahaja. 

“Agenda mereka lebih besar iaitu Islam terhapus dari muka bumi ini melalui peperangan secara fizikal dan menghapuskan pegangan konsep tauhid atau akidah umat Islam melalui jarum-jarum halus serangan pemikiran yang merungkai akidah penganut Islam,” katanya.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Difahamkan, keputusan kes pada Rabu lalu mengambil masa selama 13 tahun dua bulan, sejak difailkan pada 2008.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini yang menggesa supaya rayuan terhadap keputusan tersebut dibuat melalui proses undang-undang di mahkamah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button