Pendapat

Boneka politik

Rakyat marhaen sudah tentu enggan terima kewujudan seorang PM yang hanya menurut keputusan dibuat pihak di luar struktur negara

PERTAMA kali saya tahu tentang kalimat boneka dalam dunia politik ialah ketika membaca akhbar tentang pemerintahan Afghanistan yang dipimpin oleh Mohamad Najibullah pada tahun 1986, ketika saya berada di tingkatan empat.

Najibullah disifatkan dalam akhbar sebagai pemimpin boneka kuasa luar, tidak mewakili umat Afghanistan.

Boneka atau puppet ialah patung yang digerakkan oleh manusia menggunakan tali, kebiasaannya untuk kegunaan persembahan.

Kamus Dewan memaknakan istilah boneka dalam konteks politik sebagai pemimpin yang dikawal oleh kuasa luar.

Fenomena boneka tidak asing dalam dunia politik. Pemimpin boneka tiada kuasa atau tidak terlibat dalam membuat keputusan. Dia hanyalah pelaksana.

Berbeza dengan perkataan pro, seperti pemimpin pro Barat atau pro Islam, pemimpin berkenaan mempunyai kuasa sepenuhnya, namun keputusan-keputusan hala tujunya dilihat banyak cenderung ke arah atau menyamai pihak-pihak tertentu.

Contohnya, pemimpin Korea Selatan dilihat pro Barat. Begitu juga Jepun. Mereka tidak dikatakan sebagai boneka Barat, kerana mereka memiliki kuasa sepenuhnya dalam membuat keputusan bagi kemaslahatan negara mereka.

Begitu juga dengan al-marhum Presiden Morsi, dilihat sebagai pro Ikhwanul Muslimin, kerana beliau memang seorang anggota jemaah itu.

Jika diabaikan aspek keanggotaannya itu pun, analisis politik terhadap pemerintahannya setidak-tidaknya akan melabelkan beliau sebagai pro Islam.

Adakah analisis politik boleh mengatakan Morsi sebagai boneka Ikhwanul Muslimin?

Jawapannya bergantung sejauh mana kebebasan Morsi, sebagai Presiden Mesir, dalam membuat keputusan-keputusan besar demi kepentingan negara.

Jika kuasa membuat keputusan berada di tangan Ikhwanul Muslimin dan Morsi sebagai anggota hanya seorang pelaksana, masih sukar untuk mengatakan Morsi sebagai boneka kerana beliau sendiri terlibat dalam membuat keputusan.

Namun jika Morsi langsung tidak terlibat dalam membuat keputusan, hanya membentang proposal, manakala keputusan dibuat sepenuhnya oleh institusi yang berada di luar struktur negara, maka istilah boneka boleh digunakan dalam analisis politik pemerintahan Presiden Morsi.

Perspektif politik yang dibawa Islam menuntut seorang pemimpin yang beraksi sebagai pemimpin sebenar bagi rakyat.

Pemimpin boleh bersyura dengan sesiapa sahaja yang dikira layak dan sesuai demi kepentingan negara.

Kepimpinan zaman sekarang lebih menuntut gaya kepimpinan berpasukan, kerana amat sukar untuk kita peroleh seorang individu setara Khalifah Abu Bakr dan Umar R.A.

Namun kepimpinan berpasukan bukan bermakna Presiden atau Perdana Menteri tidak dilibatkan dalam membuat keputusan.

Ini kerana apa-apa yang berlaku akibat keputusan itu akan ditanggung jawabnya oleh Presiden atau Perdana Menteri terbabit.

Rakyat marhaen yang buta huruf al-Quran pun sudah tentu enggan menerima kewujudan seorang Perdana Menteri yang hanya menurut keputusan yang dibuat oleh pihak di luar struktur negara.

Atau dengan bahasa yang lebih mudah, tiada sesiapa mahu pemimpin boneka.

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
Naib Presiden BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button